Pada semalam, tular satu tangkap layar Insta Story seorang lelaki yang bertindak mengancam bunuh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam tangkap layar tular itu, lelaki berkenaan antara lain turut membantah kuasa baginda dalam pelantikan perdana menteri baharu, selain mengajak orang ramai berdemonstrasi.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hantaran dimuat naik suspek turut melabelkan salah satu kaum di negara ini sebagai korupsi.
Suspek berusia 35 tahun yang ditahan itu merupakan pemilik Instagram yang menggunakan nama williamkhor 87.
“Risikan dan maklumat yang dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki berumur 35 tahun itu yang dipercayai pemilik akaun Instagram tersebut.
“Suspek diberkas menerusi serbuan yang dijalankan sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sebuah rumah yang terletak di sekitar daerah Kajang kira-kira jam 10.30 malam,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pihak polis telah menerima perintah tahanan reman terhadap suspek selama tiga hari mulai 23 hingga 25 November.
“Perintah tahanan reman tersebut diterima daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi memudahkan siasatan lanjut dijalankan.”Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menghayati serta menghormati prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara.
“Penting untuk mematuhi undang-undang yang diperuntukkan demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara dan mereka yang didapati berbuat demikian akan diambil tindakan tegas mengikut peruntukkan undang- undang yang telah ditetapkan,” katanya.