Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berjaya meraih lebih RM1 juta dalam misi banjir yang digerakkan parti itu sejak dua hari lalu.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, raih dana Bantuan Mangsa Banjir yang dilancarkan akan disalurkan kepada lebih 10,000 keluarga mangsa yang terjejas.
“Kurang 100 jam selepas raih dana dilancarkan, Muda telah berjaya meraih RM1,045,600 hasil sumbangan dari seluruh rakyat Malaysia.
“Sumbangan ini akan terus digunakan bagi membantu menyegerakan misi menyelamat mangsa banjir, membeli keperluaan asas, makanan, alat kebersihan diri serta bagi menguruskan misi membersihkan kawasan pasca-banjir.
“Setiap ringgit dan sen yang disumbangkan ini akan digunakan 100 peratus untuk mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Saddiq memaklumkan, sumbangan itu akan melalui proses audit bagi memastikan ketelusan dan integriti pengurusan wang.
Tambahnya, Muda juga telah melancarkan satu panggilan sukarelawan di maribantu.my/pasca untuk seluruh rakyat Malaysia turun dan membantu di kawasan banjir.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersungguh- sungguh membantu mangsa banjir.
“Penghargaan juga diberikan kepada Jawatankuasa Misi Banjir Muda dan ahli Muda seluruh negara yang bekerja keras untuk rakyat,” katanya lagi.