Mufti Perlis nafi sokong kumpulan G25

Oleh MALAYSIADATELINE

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan dakwaan sesetengah pihak, beliau menyokong kumpulan G25.

“Golongan Syiah Saqqaf dan Ahbash menyebarkan kononnya saya menyokong G25. Itu tidak benar.

“Saya sendiri mengkritik terus kepada pihak mereka dalam beberapa isu termasuk sikap tidak profesional apabila anggota mereka mendedahkan perjumpaan tertutup mereka dengan ‘beberapa tokoh politik yang mereka temui’.

“Itu tidak menggambarkan mereka sebagai kelompok profesional. Saya telah nyatakan hal ini langsung kepada mereka.

“Juga anggapan salah seorang mereka bahawa minum arak sesuatu yang tidak perlu dibesarkan bahkan itu sesuatu yang normal. Itu juga tidak wajar.

“Dalam isu khalwat pula, saya sejak tahun 2007 menyatakan tidak boleh ada wewenang mengintip privasi orang lain dalam maksiat peribadi.

“Saya mengkritik pihak yang sibuk mencari maksiat tertutup tapi membiarkan maksiat terbuka di atas pentas hiburan, rasuah, mungkir janji kepada rakyat, suami pukul isteri, suami tidak bayar nafkah isteri dan banyak lagi.

“Walaupun pelbagai aduan diangkat, hal-hal itu banyak yang didiamkan oleh pihak tertentu.

“Saya menyatakan bahawa perlu ada garis panduan yang kemas dan patuh prinsip syariah dalam operasi mencegah zina. Operasi boleh tetapi dengan syarat yang kemas dan benar-benar memelihara prinsip menjaga dosa tertutup. Perbuatan mengupah intipan ataupun membawa wartawan adalah menyanggahi syariat.

“Saya telah tulis artikel mengenai hal itu sejak 2008.

“Pihak Ahbash sengaja mengujudkan pembohongan dan pihak G25 salah andaian.” ujarnya sebagaimana di petik daripada status yang dimuat naik dalam facebook  semalam.