Mufti Wilayah Persekutuan terima kunjungan Archbishop Kuala Lumpur

Oleh BORHAN AHMAD

Dalam satu perkembangan luar biasa yang mencatat sejarah keharmonian agama di negara ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima kunjungan muhibah Archbishop Kuala Lumpur, Reverend Julian Leow Beng Kim.

Pertemuan berlangsung di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir menyambut kehadiran rombongan Reverand Julian ialah para pegawai Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam status di laman Facebook beliau, Dr Zulkifli berkata, pelbagai isu dibincangkan pada pertemuan itu yang menyentuh perihal konsep kepelbagaian masyarakat, toleransi, dan sikap hormat-menghormati antara agama.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Reverend Julian atas kunjungan tersebut.

Dr Zulkifli juga berterima kasih kepada aktivis sosial, Shahkirit Kokulal Govindji daripada Global UNITY Network di atas usaha menyelaras pertemuan itu.

“Semoga Allah merahmati kita semua,” ujar beliau.

Berbual mesra membincangkan hal kepentingan bersama. Turut kelihatan Shahkirit Kokulal Govindji

Archbishop Julian mengaminkan doa yang dibaca pegawai Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan