Muhyiddin cadang Najib cuti sementara siasatan 1MDB selesai

Oleh MALAYSIADATELINE

 

“Saya cadangkan mungkin PM berehat seketika.Ambil cuti hingga selesai supaya siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Supaya orang lihat tidak ada campur tangan dalam siasatan,” kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan amanatnya pada  perhimpunan di Dewan Sultan Sulaiman malam tadi.

 “Saya cadangkan mungkin PM berehat seketika.Ambil cuti hingga selesai supaya siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Supaya orang lihat tidak ada campur tangan dalam siasatan,” kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan amanatnya pada perhimpunan di Dewan Sultan Sulaiman malam tadi.

“Kalau tiada kesalahan, balik semula sambung tugas. Saya percaya, dengan ini imej PM dan Umno dapat dipulihkan,” ujarnya merujuk kepada isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Ahli Parlimen Pagoh ini juga menyebut tentang halangan Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak membenarkan beliau berucap pada perasmian tiga sayap parti itu.

“Setiap tahun saya dijemput merasmikan perhimpunan sayap, tetapi tahun ini entah mengapa Majlis Tertinggi (MT) putuskan saya tidak berucap, saya tidak tahu mengapa.

“Setelah MT buat keputusan itu, saya terima banyak permintaan untuk sampaikan sedikit amanat sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) bermula.” terangnya sebab beliau menyampaikan amanat sehari sebelum PAU bermula hari ini.

Sambung Ahli Parliman Pagon ini, lagi,”  Taat dan setia saya kepada Umno tetap utuh. Apatah lagi ramai yang tampil datang memberi sokongan untuk terus berjuang di landasan yang benar, mereka mahukan saya berkata benar dan jangan sekali berundur.

“Sebagai seorang Islam menjadi kewajipan saya menyatakan kebenaran menentang kemungkaran. Saya tidak akan biar kemungkaran yang nyata bermaharajalela tanpa ditentang, khususnya melibatkan agama, bangsa, negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, Allah swt berjanji kebenaran akan muncul dan kebatilan akan hancur.

“Sebagai orang Islam kita wajib percaya tiada sebenar-benar janji melainkan janji Allah,” katanya di hadapan lebih 5,000 penyokongnya.

Beliau kemudian mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Ketua Cawangan Malaysia  (GKCM) dan penganjur acara malam ini kerana menyediakan platform untuk beliau bercakap. Beliau juga  berterima kasih kepada penyokong lain yang turut hadir termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.