Muhyiddin-Shafie tidak dipecat, elak persepsi dan pecah sokongan

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan Majlis Tertinggi Umno (MT Umno) memecah tradisi tidak membenarkan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal berucap pada tiga sayap parti itu, dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015, bukanlah satu bayangan ke arah untuk pemecatan jawatan barisan pemimpin kanan parti itu.

Tindakan tidak membenarkan kedua pemimpin itu berucap, bertujuan mengekang persepsi tidak baik di kalangan ahli parti, parti lawan dan masyarakat di luar parti.

Pakar Geo Politik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Prof. Madya Dr. Azmi Hassan berkata, PAU bukanlah pentas yang baik untuk, Muhyiddin dan Shafie ingin mengkritik kepimpinan parti.

Prof Azmi Hassan“Perhimpunan kali ini untuk memberikan persepsi kepada semua ahli Umno, adalah ‘bersepakat’ supaya tidak timbul persepsi yang tidak baik. Bukan saja dikalangan ahli tetapi membabitkan persepsi pelbagai dikalangan parti lawan dan luar parti.

“Tindakan MT Umno adalah tindakan pro aktif untuk elakkan persepsi buruk itu berlaku,” ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Malah beliau menjelaskan, MT Umno tidak akan memecat Ahli Parliman Pagoh dan Ahli Parlimen Semporna disebabkan hanya kerana kedua pemimpin itu bercakap secara terbuka kepada ahli parti mengenai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu berkaitan 1MDB dan dana RM2.6bilion.

“ Mengkritik kepimpinan dan parti tidak salah tetapi masalah yang timbul ia tidak kena kepada etika parti itu sendiri.” terangnya.

Ditanya bagaimana pula dengan pemecatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Othman dan ahli Wanita Umno Cawangan Padang Matsirat, Ainina Sadudin, pastinya tindakan mereka juga mengkritik pemimpin tetapi mengapa pula mereka dipecat?

Azmi berkata, dalam situasi pemecatan ini, mereka dijadikan ‘kambing hitam’ Umno.

“Sesuatu yang tersirat dengan pemecatan Hamidah dan Ainina ibaratkata, ‘marahkan menantu pukul cucu’ untuk memberi isyarat tersirat dikalangan mana-mana ahli dan pemimpin parti yang dilihat semakin ‘rival’ dan ekstrim hingga boleh memecah belahkan ahli parti, mungkin mereka akan menerima nasib yang sama.

“Kedua-duanya (Muhyiddin dan Shafiee) diharap memahami isyarat itu, tetapi dalam keadaan hari ini MT tidak perlu membuat tindakan drastik untuk memecat Timbalan Presiden dan Naib Presidennya.

“Tindakan mereka walaupun bertentangan dengan etika parti masih belum dapat memecahkan sokongan akar umbi terhadap UMNO ,” ujarnya.

Beliau meyakini suara akar umbi masih lagi memihak kepada parti keramat berusia 70 tahun itu walaupun tidak dinafikan akan berbangkit perbahasan dikalangan perwakilan yang menyentuh persoalan kemungkinan berlaku pemecatan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam PAU kali ini.

“ Pemecatan Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah cukup terkesan di kalangan ahli parti. Walaupun malam tadi (di Pagoh) beliau buat kenyataan rela dipecat.

“Dalam keadaan sekarang Umno tidak berbuat demikian (memecat Muhyiddin) kerana dalam perkiraan UMNO, Muhyiddin tidak boleh memecahkan penyokong akar umbi, majoriti ahli masih lagi setia kepada pemimpin .

“Jika orang Melayu dalam Umno berpecah ia bukan kerana pemecatan Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Presiden parti.

“Sebaliknya isu-isu berkaitan 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang masih belum lagi dapat dijawab oleh Perdana Menteri selaku Presiden Umno menjurus kearah ketidakyakinan ahli terhadap parti dan pemimpin.

“Jadi di pentas PAU semua pewakilan menunggu isu berbangkit dijawab oleh Presiden Umno dalam pergulungan perbahasan kelak untuk mengembalikan semula keyakinan akar umbi terhadap pemimpin dan parti.

“ Jika ini gagal dilaksana oleh Presiden parti ia akan memberi kesan buruk kepada kemenangan UMNO-BN dalam PRU ke-14 kelak,” ujarnya.