Mujahid beri peringatan RCI Tabung Haji perlu telus, bebas agenda politik

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tegas berpendirian bahawa sejak awal lagi beliau menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Beliau juga mengucapkan syabas atas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang menyatakan bahawa Kabinet bersetuju untuk menubuhkan RCI LTH.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, anggota RCI itu kelak perlulah terdiri dari pakar yang berkelayakan.

“Saya juga hairan kenapa Pelan Penstrukturan Semula tidak termasuk dalam terma rujukan RCI sedangkan pelan tersebut dirangka berpandukan kepada rumusan dapatan dari firma audit yang disebutkan.

“Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa RCI Tabung Haji perlu telus dan profesional tanpa agenda politik di sebaliknya.

“Jika saya dipanggil untuk memberi keterangan, saya bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang kerajaan PH telah ambil untuk selamatkan TH termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu yang terlibat dalam penyelewengan dana TH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Ismail berkata bahawa Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji.

Penubuhan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurutnya, siasatan berkenaan akan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Sementara itu, menyorot kembali sepanjang tempoh 22 bulan menjaga Tabung Haji di bawah JPM Agama, Mujahid berkata pihaknya dan pasukan TH telah bertindak berpandukan atas laporan firma audit profesional untuk menjayakan pelan penstrukturan semula di mana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangan dan integritinya ketika itu.

Beliau berkata, dua perkara asas yang dilakukan segera iaitu memastikan pengeluaran hibah hendaklah mematuhi Akta TH (1995) yang telah dilanggar sejak 2014.

Kedua ialah menutup jurang defisit antara aset dan liabiliti yang mengikut laporan audit 2017 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Pelan Penstrukturan Semula TH diperkenalkan secara telus dan mendapat kelulusan kabinet serta dijelaskan di dalam Parlimen secara terbuka.

“Isu TH kembali hangat apabila PN berkuasa dan isu ‘jual aset orang Islam’ terus disensasikan walaupun kejayaan pelan penstrukturan TH diperakui oleh kerajaan hari ini,” katanya lagi.