Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) baharu yang berkuatkuasa semalam.
Beliau memuji keputusan agensi umat Islam itu yang mengekalkan ketetapan awal Pakatan Harapan untuk memisahkan TH dari tunggangan orang politik.
“Semoga kelestarian TH bawah Azman Mokhtar berjalan lancar untuk kepentingan umat Islam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, TH mengalu-alukan pelantikan itu dan menyifatkan Azman sebagai tokoh yang disegani dan berpengalaman khususnya dalam aspek pelaburan dan transformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semasa beliau menerajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dari tahun 2004 hingga 2018.
Beliau berharap pelantikan tersebut menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji,
“Di kala negara masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik, kami yakin dengan pengalaman, dedikasi dan kepimpinan beliau, TH akan terus dipacu untuk kecemerlangan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.