Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa melancarkan kempen Program Kebersihan Perdana Masyair di Maktab Land Premium semalam.
Program berkenaan bertujuan bagi memberi galakkan kepada jemaah haji Malaysia supaya menjaga kebersihan dengan mengutip sampah dan bergotong-royong semasa Masyair iaitu ketika di Arafah-Mina-Muzdalifah.
Semasa pelancaran itu juga, turut dihadiri Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik serta Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahmah.
“Insya-Allah sesi gotong-royong bersama jemaah haji akan diadakan selama tiga hari pada setiap pagi iaitu pada jam 8 hingga 9 pagi” katanya dalam tulisan di Facebooknya semalam.
Selain itu juga, Mujahid yang telah berada di Mekah selama empat hari bagi menunaikan ibadah haji sempat meluangkan masa bertemu dan menziarahi jemaah yang ditempatkan di klinik-klinik sekitar tanah suci.
Beliau juga mengadakan pertemuan bersama Duta Malaysia di Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin
“Saya juga berkesempatan menziarahi maktab-maktab, klinik dan pesakit dari Malaysia serta menyantuni jemaah haji,” ujarnya lagi.