Mukhriz akui 1MDB punca beliau disingkir, tuntut tubuh Suruhanjaya Diraja

Oleh BORHAN AHMAD

Mesyuarat Majlis Raja raja MelayuPengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui ucapan beliau dalam satu majlis di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang menyentuh kegagalan Perdana Menteri, menteri kabinet dan pengerusi 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menjawab persoalan berhubung 1MDB menjadi punca beliau disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Mukhriz turut menuntut Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB setelah empat bulan mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu menyatakan keprihatinan terhadap isu besar yang melanda negara itu.

“Di suatu majlis bersama rakan-rakan seperjuangan dalam Umno di Saloma Bistro, Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada 11 Disember 2015, saya telah sentuh mengenai keengganan dan kegagalan Perdana Menteri, Menteri-menteri tertentu dan Arul Kanda menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang resah dengan kes 1MDB.

“Walaupun secara berseloroh, namun maksud tersirat saya itu amat difahami oleh semua pihak yang mendengar ucapan tersebut.

“Malah, Dato’ Seri Najib sendiri menyatakan kepada saya bahawa ucapan itulah yang menimbulkan rasa marah beliau terhadap saya, mengakibatkan saya dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah,” ujar beliau.

Menurut Mukhriz, Majlis Raja-raja dalam satu kenyataan mengenai 1MDB bertarikh 7 Oktober 2015 menyatakan keprihatinan terhadap “keresahan dan kebimbangan rakyat apabila kredibiliti dan integriti kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat mentadbir negara” dikritik.

“Jelas daripada kenyataan tersebut, Majlis melihat bahawa ‘keamanan dan kemakmuran negara yang perlu berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyat dapat hidup dalam harmoni’ boleh terjejas teruk dengan kontroversi 1MDB.

“Oleh itu, Majlis telah menitahkan semoga siasatan terhadap 1MDB diselesaikan secepat mungkin dan ‘penemuan siasatan dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran’,” tegas Mukhriz.

Bagaimanapun beliau kesal kerana setelah empat bulan berlalu tiada langkah konkrit dilakukan pentadbiran Najib bagi menjunjung titah Raja-aja Melayu berhubung skandal 1MDB.

“Adakah dengan hanya beberapa kenyataan oleh Menteri yang dilihat mengkais ketepi titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, dan tiada respon dari Perdana Menteri sendiri sudah memadai untuk dianggap sebagai jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Majlis?

“Wajarkah titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ditepis sebegitu rupa tanpa apa-apa respon yang beradab dan munasabah?” soal beliau.

Mukhriz mengingatkan pentadbiran Najib bahawa keprihatinan yang ditunjukkan Raja-raja Melayu berpunca daripada rungutan yang disembah maklum oleh rakyat.

Majlis Raja-raja, ujar beliau tidak akan mengendahkan aduan dan rintihan rakyat jika ia difikirkan sebagai tidak berasas.

“Jelas sekali, apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan yang ditujukan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai 1MDB, ianya bukan sesuatu yang boleh diremeh dan tidak diendahkan,” tegasnya.

Mukhriz menambah, ketika Perdana Menteri dan pentadbirannya tidak mengambil serius titah Majlis Raja-raja Melayu, Najib sebaliknya bertindak sebagai suara rasmi 1MDB dengan mempertahankan segala tindakan syarikat tersebut dan cuba mengaburi pandangan rakyat dengan pengumuman-pengumuman tidak relevan seperti pembayaran balik hutang-hutang 1MDB.

Apa yang menjadi keprihatinan umum termasuk Raja-raja Melayu, tambah beliau adalah berbilion ringgit wang rakyat yang telah dipinjam dari cagaran aset negara dan dibelanja oleh 1MDB atas persetujuan dan kelulusan Pengerusi Panel Penasihatnya iaitu Perdana Menteri.

Namun jelas Mukhriz, ‘jawapan’ yang diberikan adalah dalam masa enam bulan semua hutang itu akan dilangsaikan dengan penjualan saham anak-anak syarikat 1MDB dan aset syarikat.

“Apabila soalan pokok tidak dijawab walaupun ditanya berulang kali, dan penerangan yang diberikan (termasuk melalui cetakan buku-buku oleh pihak JASA) tersasar dari soalan pokok dan cuba mengelirukan rakyat dengan maklumat-maklumat yang tidak relevan, maka mahu tidak mahu terbentuklah andaian bahawa ada fakta dan kebenaran yang hendak disembunyikan oleh Dato’ Seri Najib,” ujarnya.

Sehubungan itu mantan Menteri Besar Kedah itu menyarankan Majlis Raja-raja Melayu mengarahkan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melaporkan hasil siasatan mereka mengenai 1MDB menjelang Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 17 dan 18 Februari ini.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, atau berlaku campurtangan oleh pihak yang disiasat, atau laporan-laporan yang diterima tidak dipercayai, maka saya merayu kepada Majlis Raja-raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mendedahkan kebenaran mengenai 1MDB secepat mungkin,” tegas Mukhriz.