Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta seluruh rakyat negeri Kedah agar bertenang dan tidak bimbang dengan desakan yang dibuat oleh kumpulan yang mendesak beliau untuk melepaskan jawatan menteri besar.
“Saya mohon pada waktu ini semua bersabar, kita bukan nak langgar sapa-sapa, kita ada undang-undang dan peraturan. Saya dipilih secara sah dan harap ia berkekalan mengikut cara yang sah.
“Saya tiada masalah untuk serahkan jawatan sekiranya rakyat tidak lagi menyokong saya. Tetapi apabila akar umbi masih sokong saya, agenda perjuangan mesti diteruskan,” katanya lapor Sinarharian online.
Mukhriz berkata, isu yang berlaku ketika ini sebenarnya adalah masalah dalaman dan tidak sepatutnya diperbesarkan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya harap rakyat akar umbi dapat beri sokongan dan kerjasama agar agenda pembangunan dapat diteruskan hingga beri manfaat kepada seluruh rakyat Kedah,” ketika berucap di hadapan rakyat Kedah yang hadir bagi menyatakan sokongan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi semalam.
Mukhriz kemudiannya menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba untuk program rasmi di Pulau Legenda itu pagi tadi.
Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan kepada kebijaksanaan Najib untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut politik Kedah ketika ini.
Beliau berkata kemelut tersebut tidak boleh dibiarkan berpanjangan memandangkan Umno dan BN perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Pihaknya, katanya bersedia menerima apa juga keputusan Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, berdasarkan kepada hak prerogatif yang ada padanya.
Berhubung khabar angin kononnya beliau akan diangkat menjadi Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz, Ahmad Bashah berkata terpulang kepada keputusan Najib selaku presiden parti.