Multaqa Alumni Al Azhar bincang isu umat Islam

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu-isu semasa umat Islam  akan dibincangkan dalam Multaqa Serantau Alumni Al Azhar Malaysia yang bakal berlangsung pada 16 hingga 18 Disember di Kuala Lumpur .

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, penganjuran program adalah tanggungjawab bersama umat Islam bagi membincangkan masalah ummah serta menjadikan syariat ALLAH sebagai pedoman dan sumber rujuk dalam pelbagai isu dihadapi umat Islam merangkumi persoalan sosial, ekonomi serta politik.

Menurutnya, program itu menyaksikan penghormatan turut diberikan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia bagi menyampaikan ucaptama.

“Ia seiringan ucaptama kedua oleh Prof Dr Abbas Shouman selaku Timbalan Syeikhul Azhar sebelum multaqa dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” katanya sebagaimana dipetik dari portal media.

Nasrudin berkata, penganjuran multaqa turut mengimbau kenangan 2002, di mana Presiden Pas pada masa itu, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor berdiri sepentas dengan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad membicarakan isu Palestin.

“Ini tanggungjawab bersama umat Islam duduk semeja dan berdiri sepentas membincangkan masalah serta isu melibatkan agama Islam.

“Kita semua tahu, musuh-musuh ALLAH tidak pernah berhenti memecah belahkan Islam.

“Mereka menaja ideologi songsang dan terpisah dari wahyu ALLAH untuk disogok kepada umat Islam di samping melagakan pemimpin Islam serta merosakkan keyakinan ummah terhadap agama ini sebagai penyelesaian masalah,” katanya.

Jelas Nasrudin, sifat paling penting sesama Islam ialah keikhlasan kepada ALLAH, benar dalam tindakan berasaskan prinsip syarak dan bertolak ansur serta mengetepikan kepentingan peribadi dan politik sempit.

Dalam perkembangan  baru, dilaporkan juga, ketika Multalqa berlansung satu pertemuan akan diatur dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha Umno untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PAS. Namun pertemuan kedua pemimpin Melayu Islam  itu di majlis sama untuk membincangkan isu kerjasama politik dua parti terbesar Melayu ini masih belum diputuskan lagi.