Murid pakai beg sampai koyak, Ustaz tunggu pelajar lain balik hadiahkan yang baru

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman yang cukup menyentuh hati memaparkan seorang guru agama menghadiahkan sebuah beg sekolah baharu untuk anak muridnya di platform media sosial.

Menerusi rakaman dikongsikan guru terbabit di platform TikTok, anak muridnya dilihat memakai beg sekolah yang sudah rosak teruk malah bahagian tali penyandang juga koyak sehingga terkeluar pelapik span.

Guru itu kemudian memanggil anak murid terbabit ketika semua pelajar lain sudah keluar dari bilik darjah dipercayai untuk pulang ke rumah sebelum bertanyakan beberapa soalan kepada kanak-kanak berkenaan.

Antara soalan yang ditanya oleh guru bergelar Ustaz itu adalah jarak rumah murid terbabit ke sekolah, kenderaan dinaiki serta sama ada kanak-kanak berkenaan sudah makan atau sebaliknya.

Ustaz itu kemudian menghadiahkan beg baharu kerana merasa simpati sebelum meminta supaya anak muridnya memindahkan kesemua bukunya ke dalam tempat penyimpanan pemberiannya.

@shahfts

Replying to @Putrafsl_ ramai sebenarnya cikgu cikgu yg ada anak murid macam ni. Ramai bantu takat yg cikgu cikgu mampu✨

♬ original sound – Shahfts – Shahfts

Pesanan juga disampaikan kepada murid itu supaya tidak membawa buku terlampau banyak dan mengikut jadual dengan betul kerana beg yang terlalu berat memberikan beban kepada bahu hingga boleh menjejaskan kesihatan.

“Ramai sebenarnya cikgu yang ada anak murid macam ini. Ramai juga cikgu membantu setakat yamg mereka mampu,” tulis guru terbabit di ruangan kapsyen video berdurasi satu minit 38 saat itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok terharu menonton rakaman tersebut selain menghargai keprihatinan guru terbabit terhadap anak muridnya.

Ramai juga pengguna memuji tindakan Ustaz itu dalam menjaga maruah anak muridnya dengan menunggu pelajar lain pulang dahulu sebelum menghadiahkan beg baharu berkenaan.

Baca juga: Ditipu penceramah bebas sampai rugi RM200k, 3 wanita buat laporan polis