Lebih sedekad dalam industri radio Malaysia, pelawak dan penyampai radio Era, Nabil Ahmad akui terkesan selepas direhatkan berikutan isu kontroversi baru-baru ini.
Tiga penyampai radio Era, Nabil, Azad Jasmin dan Radin direhatkan selepas didakwa menyentuh sensitiviti perkauman.
Disebabkan isu tersebut, Nabil mengakui dirinya terbayang jika ia akan menjadi penyebab karier dalam industri seni berakhir lapor Kosmo! Online.
“Saya dapat surat direhatkan selepas kami (Azad Jasmin dan Radin) keluar dari Bukit Aman. Selepas saya baca surat itu, saya terus ke Masjid Bandar Utama dan menangis.
“Ketika ini saya terfikir, sudah habiskah? Adakah ini penghujung (kerjaya), apa yang harus saya jual ketika ini?” ujarnya dalam temu bual audio siar bersama pengacara Aidid Marcello.
Jelasnya, situasi tersebut memberi impak besar buat dirinya disamping perlu mencari nafkah untuk menyara keluarga.
“Saya tidak pernah tak kerja, selalunya akan dapat cuti atau mohon cuti sendiri.
“Namun, kali ini berbeza kerana saya direhatkan dalam keadaan sedang bekerja dan memerlukan pekerjaan itu.
“Anak-anak juga sedang membesar, dapat surat macam itu memang mental. Macam tak percaya sebab saya dah bina kerjaya itu sehingga hari ini,” tambahnya.
Pada masa sama, dia menggunakan masa ini untuk memikirkan perancangan buat masa depan kerana untuk saat ini dia tiada plan sokongan jika ia berakhir.
“Saya pernah cakap pada diri sendiri, kalau nak jadi pengacara, jadi yang tiada ganti dan paling dinanti-nanti orang ramai.
“Macam saya, jenis harung semua jatuh dan bangun itu sendiri tapi bila sampai surat itu, rasa hancur jadinya.
“Saya terfikir ke mana nak pergi dan perancangan masa depan anak-anak. Karier ini memang tak ada ‘backup’. Kalau masa itu habis, kau pun habis,” ujarnya.
Baca juga: Siti Nurhaliza tak sabar nak merenjis, menyanyi di majlis kahwin Amira Othman-Fattah Amin?