Nad Zainal nafi kerjaya seni dikongkong Ungku Ismail lepas setahun lebih berkahwin

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon, Nad Zainal, 34, menafikan dakwaan dia dikongkong suaminya Ungku Ismail Aziz, 39, sejak mereka berumah tangga lebih setahun lalu.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin,  berkata, situasi sebenar tidak seperti disangkakan, sebaliknya lelaki itu banyak memberikan bimbingan dalam menentukan hala tuju hidup.

Katanya, jika Ungku mengongkong, pasti dia rasa tertekan dan terbeban, namun sebaliknya tidak begitu.

“Suami tidak pernah mengongkong saya dan semuanya okay saja. Kalau mengongkong, pasti kita akan berasa tertekan dan terbeban tetapi ini biasa saja. Normal seperti pasangan suami isteri lain.

“Ketika hamil, memang saya kurang aktif tetapi masih ambil tawaran berlakon. Selepas bersalin pun, saya berlakon semula.

“Bagi saya, itu bukan mengongkong. Sebaliknya, suami sekadar mengingatkan diri ini,” katanya ketika ditemui di acara bazar hujung minggu yang berlangsung di sebuah hotel semalam.

Ditanya sama ada dia selesa dengan cara Ungku Ismail itu, Nad berkata, dia percaya suaminya itu mampu membentuk dirinya untuk menjadi seorang wanita yang lebih bertanggungjawab.

“Saya juga suka kalau ada orang yang boleh melentur saya. Tidak bermakna kalau sudah berkahwin saya tak boleh berlakon.

“Hidup saya kini banyak berubah selepas berkahwin dan semakin tenang berbanding dulu,” katanya lagi.

Baca juga: Rupanya tak susah buat agar-agar kering sendiri di rumah, jadikan hantaran pun boleh!