Ordinan Darurat di Sarawak boleh ditamatkan lebih awal sebelum Februari 2022 bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Justeru, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata untuk tujuan itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg perlu menasihati Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi berunding dengan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Sarawak sepatutnya mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dalam tempoh 60 hari berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) secara automatik pada 6 Jun lalu tetapi disebabkan Ordinan Darurat, pentadbiran Sarawak pada masa ini dapat memerintah berdasarkan ‘masa yang dipinjamkan’.
“Saya percaya, rakyat sudah pasti tidak gembira dengan perkara tersebut dan oleh itu, kita perlu memberikan semula mandat kepada rakyat dengan secepat yang mungkin untuk mereka gunakan hak yang sepatutnya,” tegas Abdul Karim.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak percaya pelaksanaan PRN12 harus diadakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu penguatkuasaan Undi18.
Malah beliau tetap yakin pelaksanaan undi tersebut akan dilaksanakan tepat pada waktunya bagi membolehkan mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun dapat mengundi pada PRN akan datang.
“Pada masa ini, pendaftaran automatik belia berusia 18 tahun sebagai pengundi sedang berlangsung malah saya juga telah memeriksa anak saya yang berusia 18 tahun dan namanya sudah ada di dalam daftar pemilih.
“Yang menjadi persoalannya sekarang adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewartakan tarikh pelaksanaannya sahaja,” soalnya.