Bukan senang untuk meninggalkan tabiat buruk yang sudah sebati dengan diri sejak zaman muda lagi.
Namun ada juga yang cuba merubah diri agar dapat hidup dengan lebih sihat untuk keluarga.
Sudah berhenti merokok beberapa bulan lalu, penyanyi Datuk Hattan, mengakui berat badannya bertambah sebanyak empat kilogram (kg) lapor Kosmo! Online.
Penyanyi berusia 59 tahun itu mengakui sukar berhenti rokok pada awalnya namun selepas kematian adiknya, dia nekad meneruskan usahanya.
“Saya berhenti merokok sejak kematian adik pada April lalu. Alhamdulillah, sejak itu saya tidak menyentuh rokok lagi.
“Dua minggu pertama memang sukar, tangan menggigil dan emosi bercampur-baur, tetapi sekarang keadaan sudah stabil.
“Walaupun badan naik mendadak dan pinggang sudah mencecah 36 inci, saya gembira kerana pernafasan menjadi lebih baik.
“Malah, saya boleh menyanyikan lagu dengan nada tinggi tanpa sebarang masalah,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Setiap usaha baik pasti ada godaan tersendiri, Hattan akui ada rakan bergurau mahu membayarnya RM1,000 jika dia merokok semula.
“Memang ada kawan yang cuba menggula-gulakan saya sampai sanggup menawarkan RM1,000 jika saya merokok semula.
“Namun, syukur saya sudah nekad. Isteri saya juga banyak bantu. Dia selalu berleter dan ingatkan agar jangan sentuh rokok lagi. Itu yang buat saya lebih kuat,” jelasnya.
Pada masa dia mengakui terkesan dengan pemergian adik tercinta, Allahyarham Mohd Hatta, yang merupakan perokok tegar,
“Adik saya kuat hisap rokok boleh dikatakan berkotak-kotak tiap hari tapi bukan saya katakan puncanya sebab rokok.
“Tapi dulu memang dia walaupun buka puasa pun dengan rokok dulu.Melihatkan semua itu, saya tiap-tiap hari doa untuk henti rokok selepas adik ‘pergi’,” ujarnya.
Baca juga: Datuk Vida kirim bantuan banjir dari Tanah Suci, peruntuk RM200,000 beli barang keperluan