Naik bas ekspres tapi degil tak nak pakai ‘seatbelt’? Siap sedia bayar RM300

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin banyak kes kemalangan jiwa melibatkan bas ekspres, persiaran dan pelbagai langkah dilaksana bagi menangani ia daripada berulang kembali.

Terbaru, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar mulai esok.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, peraturan ini akan dikuatkuasakan ke atas semua bas yang dibina selepas Januari 2020.

Sementara itu, bas yang dibina sebelum tahun tersebut akan diberikan tempoh tertentu untuk melengkapkan pemasangan tali pinggang keledar lapor Berita Harian.

Tegasnya, setiap pemandu bertanggungjawab memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas mula bergerak.

Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan tindakan saman sebanyak RM300 terhadap individu yang ingkar.

“Sebelum ini kita mengambil pendekatan advokasi, namun bermula 1 Julai ini kita akan melaksanakan secara tegas.

“Sekiranya pemandu gagal memberi peringatan kepada penumpang untuk memakai tali pinggang berkenaan, bukan hanya penumpang yang akan disaman sebalik pemandu dan syarikat pengendali bas turut dikenakan saman.

“Jika pemandu sudah memberi peringatan kepada penumpang, namun penumpang masih berdegil untuk memakai tali pinggang keledar, saman hanya akan diberikan kepada penumpang.

“Namun kita akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesahkan sama ada peringatan sudah dibuat atau sebaliknya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan JPJ sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pengendali syarikat bas bagi memaklumkan perkara berkenaan.

“Kita sudah mengeluarkan garis panduan kepada mereka supaya arahan yang diterima jelas dan selepas ini kita tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Justeru saya mengingatkan semua syarikat pengendali bas dan penumpang supaya mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.

Baca juga: Ingatkan JPJ dah tukar kereta sport dua pintu, rupanya…