Naik taraf K1M: 293 Klinik Komuniti ada Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelan reformasi Klinik Komuniti akan menempatkan Pegawai Perubatan
dan Pegawai Farmasi di semua 293 buah Klinik Komuniti secara berperingkat.

Sejumlah 293 akan dijenama semula sebagai Klinik Komuniti adalah daripada 347
buah Klinik 1Malaysia (K1M) sebelum ini. Manakala sebanyak 20 buah akan di naik taraf kepada Klinik Kesihatan, dan 34 yang lain bakal ditutup secara berperingkat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menaiktaraf K1M kepada Klinik Komuniti dengan memberikan fokus kepada perkhidmatan; penempatan pegawai perubatan dan pegawai farmasi;naik taraf fasiliti yang sesuai kepada Klinik Kesihatan dan;penamatan perkhidmatan fasiliti yang tidak kos efektif.

“Reformasi K1M kepada Klinik Komuniti ini bakal menambah baik mutu penjagaan kesihatan kepada golongan sasar dengan menambah fungsinya kepada Rawatan Pesakit Luar, khususnya dalam menangani masalah Penyakit Tidak Berjangkit (Non Communicable Diseases – NCD); iaitu Diabetes dan Hipertensi.

“Sekaligus ianya membezakan fungsi antara Klinik Komuniti dan Klinik Desa; yang mempunyai fokus perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak.

“Melalui pelan reformasi ini juga fasiliti K1M yang sedang menyediakan perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak akan dinaik taraf secara berperingkat kepada Klinik Kesihatan.

“Dengan langkah tersebut, proses evolusi perkhidmatan daripada Klinik Komuniti dan Klinik Desa kepada Klinik Kesihatan menjadi lebih jelas,” ujarnya.

Beliau menjawab bertulis pertanyaan dikemukakan Datuk Abdul Rahman bin Mohamad (BN-Lipis) berkaitan impak positif penjenamaan semula Klinik 1Malaysia (K1M) dan kriteria yang ditetapkan bagi memastikan Klinik 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Sidang dewan rakyat hari ini Dr Dzulkefly turut menjawab pertanyaan bertulis Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai b menambah baik Klinik Desa (KD), terutamanya dari segi infrastruktur yang agak uzur.

Dr Dzulkefly menjelaskan sehingga kini terdapat sebanyak 1792 Klinik Desa di seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 122 sejak 2011 KD telah dinaiktaraf kepada Klinik Kesihatan (KK).

“Pelaksanaan naik taraf KD ke KK akan dilaksanakan melalui sama ada pembinaan KK baru bagi infrastruktur yang uzur atau penambahan bangunan bagi perkhidmatan pesakit luar dan kecemasan.

“Walau bagaimanapun, naik taraf KD kepada KK akan dilaksanakan mengikut keutamaan dan juga tertakluk kepada keupayaan kewangan,” ujarnya.

Mengiktu laporan KKM bagi tahun 2017 jumlah kedatangan pesakit ke K1M adalah sejumlah 6,590,295 kes.

Kos operasi bukan perubatan yang meliputi sewa, utiliti dan penyelenggaraan; adalah sekitar RM36 juta.

Manakala kos operasi perubatan yang meliputi ubat, reagen dan consumables; adalah sekitar RM119 juta.

Kementerian telah menyenarai pendek 34 buah fasiliti K1M yang tidak kos efektif.pada tahun 2017 berjumlah RM1,376,850.62. Manakala kos operasi perubatan adalah RM1,168,138.78.