Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mempersoalkan penganjuran program di bawah kerajaan negeri yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.
Adly yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, usaha membantu golongan peniaga amat disambut baik tetapi seharusnya tidak perlu dijadikan alat bagi kepentingan politik kepartian.
“Saya alu-alukan bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk bantuan usahawan cuma tidak perlu diperalatkan untuk tujuan politik kepartian,” katanya.
Adly berkata demikian mengulas kehadiran Najib dalam program penyerahan sumbangan bantuan one-off MAIM RM350 kepada peniaga-peniaga kawasan Masjid Tanah.
Gambar Najib sedang duduk di pentas dalam program tersebut tular hari ini bahkan dikongsikan laman Facebook rasmi Perikatan Nasional Melaka.
“Apa kena mengena Najib dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)?” persoal laman itu sebentar tadi.
Dalam foto tular yang melibatkan kehadiran bekas Perdana Menteri itu, bendera Umno turut dilihat dipasang di sebelah kiri dewan.
Kelmarin, Najib yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dilapor akan membantu kempen Umno dan BN habis-habisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Najib, dia berperanan membantu jentera parti yang akan diketuai Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan memenangi semua kerusi yang ditandingi calon parti itu nanti.
“Saya dikehendaki membantu kempen habis-habisan. Saya akan bersama Datuk Seri Mohamad dan saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun akan turun untuk bantu kita dalam kempen,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.
Untuk rekod, Najib pada 28 Julai tahun lalu didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram serta menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC.