Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas seorang yang pengecut untuk berhadapan dengan Ahli Parlimen, tegas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin ekoran kegagalan Najib ke Parlimen semalam.
Mengulas skandal RM2.6 bilion yang dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib, beliau berkata, Presiden Umno itu sepatutnya hadir di Parlimen untuk memberi penjelasan berkenaan isu tersebut.
Walau bagaimanapun, ujar beliau, Najib tidak hadir sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili Najib bagi menjawab persoalan mengenai dana berkenaan.
“Setelah mendengar kononnya penjelasan daripada TPM (Timbalan Perdana Menteri), jelas beliau tidak pun menjelaskan isu RM2.6 bilion seperti siapa yang beri RM2.6 bilion, mengapa diberi RM2.6 bilion, tujuan apa diberi RM2.6 bilion? Semua ini tidak langsung dimaklumkan dalam Parlimen,” katanya.
Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenalpasti individu yang menyumbang RM2.6 bilion ringgit sebagai dana politik kepada Najib.
Mengulas lanjut, Hanipa yang juga Ketua Biro Undang-undang Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, lebih melucukan apabila Tan Sri Speaker tidak membenarkan mana-mana Ahli Parlimen untuk mengemukakan soalan.
Dalam hal berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketidakhadiran Najib ke Dewan Rakyat adalah kerana atas nasihat Peguam Negara.
Azalina pada 20 Oktober lalu dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat memberitahu selain ‘derma’ RM2.6 bilion itu kerajaan akan menjawab soalan berhubung dakwaan kehilangan bayaran AS$993,000,000 daripada 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).
Terdahulu, SPRM pernah menyatakan dana RM2.6 bilion itu adalah sumbangan politik daripada penderma Timur Tengah.