“Nak kepala..”, satu kilang huru-hara, ratusan pekerja diserang histeria

Oleh KIM SYAZIE

Kakitangan sebuah kilang fabrik berdepan dengan detik cemas apabila ratusan rakan sekerja mereka diserang histeria secara mengejut.

Huru-hara dibuatnya, kejadian itu bermula pada pukul 11 pagi ketika seorang pekerja perempuan yang belum bersarapan tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Tidak lama selepas itu, perempuan tersebut bangun dari pengsan dan mula meracau serta bertindak seperti orang yang mengalami kerasukan.

Keadaan yang tenang kemudian bertukar menjadi kacau-bilau apabila gangguan yang dialami wanita itu merebak kepada pekerja lain.

Jeritan dan tangisan mula memenuhi ruangan bangunan itu apabila satu persatu pekerja kilang mula dirasuk dengan serentak.

Walaupun pekerja yang tidak mengalami histeria turut panik, mereka tetap membantu mengangkat rakan mereka keluar dari ruangan kerja.

Kejadian mengerikan yang berlaku di Majalengka, wilayah Jawa Barat, Indonesia itu sempat dirakam dan ditularkan di platform media sosial.

Menerusi rakaman yang beredar, ada seorang wanita dilihat duduk di kerusi roda sambil menangis dan mengurai rambut panjangnya.

“Haaayang huluuuu…haaayang huluuuu (nak kepala, nak kepala),” pinta wanita yang sedang dirasuk sambil menangis itu.

Kejadian yang berlaku dari pukul 11 pagi sehingga jam 3.30 petang (waktu tempatan) itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Majalengka, Indra Novianto.

“Awal mula kejadian apabila salah seorang pekerja mengalami histeria. Tidak lama kemudian, beberapa orang pekerja kemudian ikut dirasuk.

“Kira-kira 100 pekerja kerasukan.” Ulas Ketua Polis itu memetik Detik.com.

Baca juga: Umum manifesto belanja ‘lunch’ bulan puasa, ramai sokong Bell Ngasri menang ABPBH