Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu hanya dua sekolah di kawasannya menerima agihan peranti digital di bawah inisiatif Tabung Cerdik (Cerdik).
Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, agihan peranti dan komputer riba yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 kepada pelajar B40 di seluruh negara itu masih tidak selesai walaupun Belanjawan 2022 akan dibentangkan tidak lama lagi.
“Agihan tidak sampai 10 peratus. Kita sudah mahu masuk ke Belanjawan 2022 tapi peruntukan Belanjawan 2021 berkaitan perkara ini masih tidak selesai,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Beliau turut berkongsikan jawapan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berhubung dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan jumlah peranti yang selesai diterima bagi Parlimen Pulai.
Mengikut maklumat diberikan, SMK Sri Rahmat dan SMK Tan Sri Mohamed Rahmat masing-masing telah menerima 263 dan 241 peranti.
Dalam masa sama, Salahuddin juga berkongsikan jawapan Radzi bagi agihan komputer riba di Parlimen Johor Bahru.
Lebih mengejutkan, hanya sebuah sekolah iaitu SMK Taman Pelangi berada dalam senarai penerima bantuan yang dilaksanakan oleh Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional.
Itu pun status agihan kepada 71 pelajar B40 di sekolah tersebut masih berstatus “akan agih”.
“Persoalannya,berapa kali sidang Parlimen dan berapa banyak YB lagi yang perlu tanya soalan yang sama sehingga hanya 71 buah laptop baru hendak diberi dan hanya kepada sebuah sekolah?” soal Salahuddin lagi.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, inisiatif di bawah Tabung Cerdik sepatutnya mengagihkan sebanyak 150,000 peranti dan komputer riba kepada pelajar B40 di 500 sekolah sebagai projek rintis.
Inisiatif itu dilaksanakan untuk membantu pelajar yang terjejas disebabkan penutupan sekolah ekoran kebimbangan penularan Covid-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung Cerdik daripada 13 syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petronas.