Nak selamatkan diri, susahkan rakyat dengan PRN, Abdul Hadi bidas Umno

Oleh NASUHA RAHMAN

Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui kecewa dengan Umno terutama tiga kluster iaitu adalah kluster mahkamah, kluster kalah PRU14 dan kluster yang tidak ada jawatan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata kerana tiga kluster inilah menyebabkan beberapa pilihan raya negeri (PRN) seperti di Melaka dan terkini di Johor berlaku.

“Saya kecewa dengan Umno bukan semua, yang kluster-kluster inilah mereka yang main politik tidak sihat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita di Masjid Rusila hari ini, katanya strategi mengadakan PRN ini bukan strategi yang baik kerana ia telah menyusahkan rakyat.

Abdul Hadi juga membidas kluster mahkamah agar terus berlawan di mahkamah dan jangan menyusahkan rakyat dengan mendesak mengadakan pilihan raya negeri.

“Kalau kita bermoral lawan sahaja di mahkamah jangan susahkan rakyat.

“Ini nak susahkan rakyat dengan pilihan raya. Nak selamatkan diri, susahkan rakyat.

“Lawan di mahkamahlah kalau kita betul, jangan takut.

“Yang kalah PRU pula tunggulah PRU akan datang, kena sabarlah.

“Ini buat (PRN) di negeri-negeri Umno yang kuat. Kita ada negeri yang Pas kuat di Terengganu, Kelantan, Kedah, ini negeri Pas kuat,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu memberi amaran bahawa Pas ada batas dan sempadan serta strategi tersendiri dengan kekuatan ahli yang mencecah satu juta.

“Bagi Pas kita ada batas dan sempadan. Jangan bulatlah PRN ini kalau nak buat lagi kita ada strategi kita. Pas ada kekuatan sendiri.

“Kita tahu strategi Umno untuk Johor sama juga di Melaka, mereka ada kerahan orang Umno, undi atas pagar tidak keluar semua begitu juga undi muda.

“Umno naik satu peratus sahaja undi di Melaka. Pas naik 100 peratus tapi tidak cukup lagi. Kita tak nak main-main kita nak kesatuan Ummah

“Kalau Umno nak main strategi, kita pun ada strategi juga,” bidasnya lagi.