‘Nak tunai haji, tapi kena kurung’ – Warga emas dakwa diperdaya pakej haji agamawan terkenal

Oleh MALAYSIADATELINE

DIsuruh bersabar antara ayat yang sering diulang ejen kepada 49 jemaah haji warga emas yang menjadi mangsa penipuan pakej haji melibatkan seorang agamawan terkenal.

Majoriti mangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), meluahkan rasa kecewa dengan layanan yang diterima sepanjang berada di Makkah.

Salah seorang daripada mereka, Syed Mustaffa Syed Mahmood, 63, dari Johor berkata, dia amat terkilan kerana realiti yang dilalui jauh berbeza daripada janji manis pengelola.

Menurut usahawan itu, mereka bukan sahaja ditempatkan bersesak dalam satu bilik apartmen, malah turut dikurung dan tidak dibenarkan keluar lapor Harian Metro.

Lebih menyedihkan, makanan yang diberi tidak seimbang, hanya mi segera atau nasi dengan dua ekor ikan dan dua ketul ayam untuk dikongsi tujuh orang.

Malah mereka juga disuru membuat bayaran tambahan untuk pengangkutan sebanyak RM1,418 ke Arafah sedangkan pembayaran sebanyak RM1,180 sudah dibuat semasa tiba di Madinah.

“Penganjur juga tidak bertanggungjawab dan ketika ditahan pihak berkuasa Arab Saudi, kami disuruh diam.

“Agamawan itu juga seolah-olah tidak bertanggungjawab ke atas kami,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Manakala isterinya, Sharifah Nura pula berkongsi pengalaman ditahan pihak berkuasa Arab Saudi sebanyak dua kali ketika cuba memasuki Makkah dengan menaiki bas.

“Ketika itu, saya dan suami dipisahkan menggunakan kenderaan lain dan tidak berhubung ketika ditahan pihak berkuasa Arab Saudi, sebaliknya diarah balik ke Malaysia.

“Kami sudah membuat tiga laporan polis dan berharap individu berkenaan dikenakan tindakan agar tiada pihak lain yang menjadi mangsa,” katanya.

48 daripada 49 jemaah (seorang pergi bercuti) selamat tiba di tanah air dari Arab Saudi selepas menjadi mangsa penipuan haji menaiki penerbangan Turkish Airline.

Baca juga: 47 jemaah warga emas dipaksa jalan kaki dari Jeddah ke Makkah, redah bukit dan padang pasir