Bagi seorang pelakon, menjayakan sesuatu watak bukan sekadar berdiri di depan kamera dan menghafal skrip.
Ia melibatkan penghayatan mendalam, jiwa, emosi dan fikiran diserap sepenuhnya ke dalam karakter yang dimainkan.
Maka, tidak hairanlah jika ada kalanya watak itu ‘melekat’ hingga terbawa pulang ke rumah.
Tidak mahu impak negatif kepada kehidupan seharian, pelakon yang juga pengarah Nam Rom menolak tawaran melakonkan watak lelaki pedofilia lapor Kosmo! Online.
“Pada usia sekarang, apabila saya ditawarkan watak lelaki pedofilia melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Memang terpaksa tolak sebab rasa sangat berat untuk dilakukan dan akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini ada kaitan dengan rasa,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Kongsinya, Nam Ron mengaku pernah membawa watak lebih serupa dan ia memberi kesan terhadap kehidupan peribadinya.
“Antara naskhah yang memberi impak kepada kehidupan saya sebelum ini ialah sebagai Rashid dalam drama Karlos yang ditayangkan pada 2013.
“Wataknya iaitu seorang bapa panas baran, pemabuk dan suka berjudi sehingga saya terbawa-bawa emosi bila pulang ke rumah.
“Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak-anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi tertanya-tanya mengapa saya berkelakuan sebegitu.
“Namun, syukur sekarang sudah tahu bagaimana nak kawal, saya tinggalkan karakter itu di set penggambaran. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” jelasnya.
Baca juga: Siti Jamumall sebak, terharu Datuk Seri Vida tanggung semua bil hospital untuk bersalin