Kita terimalah kenyataan Jabatan Hutan Negeri Pahang ini pada nilai mukanya. Orang putih kata, face value.
Kita pun tidak tahu luas mana kawasan hutan belantara yang dipantau oleh dron JHNP itu dan berapa rapi.
Hutan rimba negeri Pahang ini luas. Macam-macam kejadian ajaib boleh terjadi tanpa ternampak oleh mata manusia dan dikesan oleh dron.
Fikir sajalah macam mana beratus hektar tanah negeri boleh ditebang tebas dan ditanam dengan durian sampai berbuah tapi baru beberapa bulan lalu saja pegawai negeri nampak dan terus tebang.
Apabila negeri besar, hutan belantara subur dan bumi kaya dengan macam-macam bijih, tentulah ada yang terlepas daripada pandangan mata pegawai negeri. Tapi rakyat jelata yang tenggelam dalam banjir dan debu bauksit nampak semua ini.
Nama di papan tanda lesen pembalakan dan perlombongan pun boleh membuatkan penglihatan pegawai negeri kelabu dan lensa dron tidak nampak.
Jadi, apabila pegawai negeri kata, balak dan sisa rimba membanjiri sungai kerana dibawa oleh kepala air, kita dengar sajalah.
Kita faham-fahamlah. Pegawai negeri ini mereka makan gaji. Mereka ada SOP dan macam-macam gerak kerja yang kadang-kala kabur dan kelabu.
Kita hanya boleh berdoa dan berharap musim tengkujuh yang sedang berlaku sekarang tidak akan memburukkan lagi keadaan banjir dan penderitaan rakyat Pahang dan negeri-negeri lain di Malaysia.