Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sedang melakukan siaran langsung di akaun TikTok miliknya bagi mempromosikan salah satu produk keluarannya.
Dalam rakaman tersebut, ahli perniagaan yang berusia 38 tahun itu dilihat sedang menggunakan ‘eyeliner’ ataupun celak ketika menyolek wajahnya sambil mempromosikan produk berkenaan kepada para penonton.
Namun perkara yang mencuri perhatian ramai dalam sesi siaran langsung tersebut adalah tindakan Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman melukis tahi lalat di pipi kirinya.
Hal ini berikutan hasil solekan tambahan sebagai pemanis muka itu dikatakan membuatkan wajah Aliff menyerupai pelakon iaitu Datin Rebecca Nur Al-Islam yang pernah terlibat dalam konflik keluarga usahawan terbabit.
Malah Aliff juga sempat berseloroh bahawa tahi lalat yang dilukisnya itu mempunyai nilai berjumlah RM1.5 juta iaitu bersamaan angka wang didakwa dipinjam oleh Rebecca daripada ibu usahawan terbabit, Rozita Ibrahim.
“Nama saya Aliff Islam,” seloroh usahawan itu lagi dalam sesi siaran langsung yang sempat dirakamkan oleh salah seorang penonton sebelum memuat naik semula video tersebut di platform Threads.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan gelagat Aliff Syukri dalam video berkenaan selain mengatakan personaliti sebenar usahawan itu sudah kembali.
Terdahulu, sikap Aliff Syukri dikatakan berubah 360 darjah apabila dilihat begitu tenang di dalam menghadapi ‘krisis’ melibatkan Rebecca dan isterinya iaitu Datin Seri Shahida Mohd Rashid.
Sekadar info, tular dakwaan sebelum ini bahawa Rebecca telah membuat pinjaman berjumlah RM1.5 juta daripada usahawan, Rozita Ibrahim yang kini turut bergelar kakak iparnya.
Dakwaan tersebut bagaimanapun dinafikan oleh Rebecca malah pelakon itu juga sanggup bersumpah dirinya tidak pernah menerima wang berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah yang mencemarkan namanya.
Perkara itu turut dinafikan sendiri oleh Rozita dalam satu penjelasan dengan mengatakan bahawa dirinya hanya memiliki urusan perniagaan yang belum selesai dengan suami Rebecca iaitu Datuk Nor Azam Sulaiman.
Baca juga: Pemilik bengang penyewa lelong set meja makan ribuan ringgit sebab nak rumah minimalis