Nampak lain Iqram Dinzly sekarang, rupanya dah jadi orang Singapura dan ini pekerjaan barunya 

Oleh KIM SYAZIE

Nama Iqram Dinzly tidak perlu diperkenalkan lagi. Pernah menimbulkan kekecohan suatu ketika dahulu, namun empunya nama itu kian menyepi dari industri hiburan tanah air.

Bertahun-tahun tiada perkembangan terbaru yang menjadi sorotan media, namun kini pelakon berusia 43 tahun itu dilaporkan sudah lama membawa diri ke Singapura bagi mencari rezeki.

Kata Iqram atau nama sebenarnya Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, walaupun rindu dengan dunia lakonan, tetapi dia sudah bosan hidup sebagai seorang selebriti.

“Kebanyakan masa saya dihentam dan difitnah di media sosial. Setiap kali buat live ada sahaja komen negatif, tak larat nak layan dah

“Tapi bila ke Singapura, ada rezeki saya di sana, jadi saya lihat rezeki itu luas. Saya dah bosan hidup sebagai selebriti..

“Tipulah tidak rindu lakonan cuma rasa terasing sebab lama memencilkan diri,’ katanya memetik laporan mStar.

Sementara itu, Iqram memberitahu fokusnya kini terarah kepada perniagaan sambalnya di Singapura.

Bahkan selepas setahun menjual produk tersebut, dia mahu mencuba nasib berniaga di TikTok seperti usahawan lain.

“Saya sekarang banyak fokus pada bisnes sambal saya sendiri, nak kembangkan perniagaan di Singapura.

“Baru setahun meniaga di sana, selepas ini saya akan cuba meniaga di TikTok.

“Mengapa Singapura? Sebab di Malaysia saya dikecam dan difitnah jadi saya bawalah diri,” ujarnya.

Baca juga: Baru tahu ada tempat dihuni wanita cantik bak bidadari, ini rahsia Lembah Hunza yang ramai belum tahu