Nasi Lemak kembali ‘mendunia’, maklumat siap dilampirkan dalam Buku Fakta CIA

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengguna media sosial tempatan baru-baru ini dikejutkan dengan perkongsian fakta mengenai nasi lemak menerusi akaun Facebook milik Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Mana tidaknya, tiada siapa menyangka bahawa badan perisikan yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan menjadikan hidangan tersebut sebagai ‘bahan’ siasatan.

Berdasarkan hantaran itu, CIA memaklumkan hasil siasatan mereka mendapati nasi lemak adalah hidangan tradisi yang digemari oleh segenap masyarakat di negara ini.

Jelas agensi berkenaan, nasi yang ‘berlemak’ ini mendapat nama daripada langkah penyediaannya yang menjadikan hidangan tersebut lemak dengan rasa dan berkrim.

CIA dalam hantaran yang sama turut memuat naik gambar sarapan pagi tersebut di mana ia dihidang dengan sambal, ikan bilis, kacang goreng, telur rebus dan timun.

“Nasi lemak dianggap sebagai hidangan kebangsaan di Malaysia. Ia juga merupakan makanan sarapan yang popular. Namanya di dalam bahasa Melayu bermaksud ‘nasi lemak’ kerana penyediaannya menjadikannya lemak dan berkrim.

“Sarapan pagi ini diperbuat dari nasi wangi yang dimasak di dalam santan bersama daun pandan, serai, halia, dan rempah ratus yang lain. Nasi lemak biasanya dihidang dengan telur rebus, ikan bilis goreng, sambal, dan kacang tanah panggang,” tulis CIA.

Menurut agensi perisikan popular berkenaan, perkongsian fakta mengenai sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia ini dilakukan oleh pihaknya berdasarkan maklumat yang dikumpul di dalam CIA’s World Factbook atau Buku Fakta CIA.

Buku tersebut adalah sumber awam badan terbabit yang merekodkan fakta-fakta menarik mengenai pelancongan, masyarakat, dan juga sejarah daripada pelbagai negara di seluruh dunia.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna Facebook terutamanya rakyat Malaysia meninggalkan komen untuk berkongsi keterujaan mereka dengan perkongsian dilakukan CIA itu.

Ramai juga pengguna tampil mengucapkan terima kasih kepada pemilik akaun kerana berkongsi fakta mengenai nasi lemak sekali gus mempromosikan hidangan tersebut di peringkat antarabangsa.

Baca juga: ‘Order’ laksa untuk 15 orang tapi nak bayar RM5 satu kepala, jawapan peniaga bagi paling ‘win’