Ahli Parlimen Bachok (PAS), Ahmad Marzuk Shaary akan menghantar memorandum kepada Menteri Kesihatan dan pihak pengurusan sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur ekoran tindakan memecat seorang jururawat, Naziah Sauni Samat , Jumaat lalu, kerana menjahit sendiri lengan baju seragamnya, kerana mahu menutup aurat.
Menurut Ahmad Marzuki insiden sebegitu tidak berlaku dalam sebuah negara yang mana ‘Islam’ sebuah agama rasmi negara. Ini membuktikan undang-undang sedia ada masih lemah dan gagal memelihara hak wanita Islam untuk menjaga aurat mereka di tempat kerja.
“Insiden seorang jururawat dipaksa memakai pakaian tidak menutp aurat, kemudian dibuang kerja dan dikenakan amaran kompoun sebanyak RM5,000 amatlah mendukacitakan.
“Saat saya berkhidmat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, saya sendiri bersama rakan-rakan telah memperjuangkan selama hampir 10 tahun konsep Hospital Mesra Ibadah.
Antara intipati pentingnya adalah aurat perawat dan pesakit. Jururawat muslimah dibolehkan ketika Standard Operation Procedure (SOP) tertentu menyinsing lengan baju, namun bukan sepanjang masa berlengan pendek. Ini melanggar prinsip aurat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru Ahmad Marzuki mengesyorkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil bekas jururawat Naziah Sauni Samat,24, dan mana-mana jururawat yang dibuang kerja untuk berkhidmat ddi hospital kerajaan.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikaan yang memaksa pekerjanya tidak menutup aurat.
“Kerajaan perlu mengeluarkan Garis Panduan Pakaian Menutup Aurat sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan.
“Membuat perubahan kepada setiap pakaian seragam agensi kerajan dan syarikat milik negara agar patuh syariah.
“Dan meminda undang-undang bagi membenarkan pekerja menutup aurat tanpa halangan dariapda majikan serta mengekan hukuman denda dan penjara kepada majikan yang ingkar,” syor beliau.
Beliau juga mempersoalkan kebenaran tidak hadir kerja selama dua hari sebagai punca pemecatan yang sangat mendesak atau pihak pengurusan hospital sengaja mencari alasan untuk menghalalkan tindakan mereka?
“Saya sendiri akan menghubungi atau berjumpaa dengan pihak pengurusan hospital dan menteri kesihatan uuntuk serahkan memorandum bantahan serta mendapatkan penjelasan.” ujarnya.
Pada Jumaat dalam sidang akhbar Naziah Sauni dipetik sebagai berkata, dia bekerja di pusat rawatan swasta itu sejak September lalu mengakui dia menyedari bahawa pakaian seragam hospital itu adalah berlengan pendek.
Dia sendiri telah memberitahu pegawai kanan hospital itu bahawa dia tidak menerima tawaran pekerjaan di situ sekiranya tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang.
Dia telah bertindak menjahit lengan pakaian seragamnya setelah dua bulan bekerja atas kebenaran pegawai atasan, namun Pengurusan Sumber Manusia sebaliknya menyuruhnya memotong semula lengan pakaian seragamnya, tetapi dia enggan berbuat demikian dan dia kemudian dipecat.
Bagaimanapun semalam, Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service, Regina Sundram, telah tampil memberikan penjelasan, jururawat tersebut ditamatkan perkhidmatan adalah disebabkan tidak hadir bekerja selama dua hari tanpa sebab.