Nasrudin diarah bayar kos kepada Guan Eng

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas isu tender dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang berlarutan selama setahun setengah, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan pagi tadi diarah membayar kos sebanyak RM10,000 kepada plaintif, Ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut dikehendaki menarik balik kenyataan kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Guan Eng tidak mengamalkan tender terbuka dalam projek dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam sejauh 6.5 kilometer itu.

Penghakiman persetujuan berkenaan diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Selepas kita menunjukkan dokumen, akhirnya beliau menerima kebenaran bahawa kerajaan negeri memang mengamalkan tender terbuka.

“Ini kerja Tuhan, iaitu menunjukkan kebenaran itu benar,” ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP kepada pemberita.

Kontroversi berkaitan kenyataan Nasrudin tercetus ekoran kenyataannya pada 6 Ogos 2014 lalu di laman sosial Facebook beliau bertajuk ‘Apa beza Kidex dan Penang tunnel?’.

Antaranya, Nasrudin mendakwa projek dibiayai kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dianugerahkan kepada Construction Zenith BUCG Sdn Bhd itu secara rundingan terus.

Terdahulu, Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya pada 2012 menyatakan Exco Negeri Pulau Pinang telah memutuskan untuk melaksanakan projek tersebut selain tiga projek infrastruktur lain melalui tender terbuka secara kompetitif pada 19 Oktober 2011 selepas rundingan awal dijalankan dari 29 April 2011.