Natasha Hudson tampil berhijab, perkongsian tentang penghijrahan curi perhatian ramai

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Natasha Hudson berjaya mencuri tumpuan baru-baru ini selepas memuat naik satu rakaman memaparkan dirinya ketika mengenakan khimar atau tudung di akaun Instagram miliknya.

Dalam hantaran tersebut, pemilik nama sebenar Natasha Liana Hudson itu berkongsi kisah tentang beberapa detik bermakna berlaku dalam hidupnya akhir-akhir ini hingga dipercayai membawa kepada penghijrahannya.

Pelakon terbabit mengakui bahawa pengalaman tersebut telah menjadi titik tolak kepada transformasi dirinya yang penuh makna serta penghayatan terhadap kehidupan dalam menjadi manusia lebih baik.

Menurut Nastasha, segalanya bermula dengan sehelai khimar dipakainya dalam rakaman tersebut yang dibeli di Tanah Suci Makkah pada tahun 2012 sewaktu pelakon berusia 43 tahun itu melakukan umrah pertama.

“Khimar ini menandakan bermulanya hijrah saya. Ramai daripada anda telah melihat saya ketika melalui beberapa musim dalam perjalanan mencari ilmu termasuk bangkit, berubah dan kembali seperti awal.

“Begitu banyak yang telah berlaku. Saya tidak selalu tahu di mana untuk bermula. Tetapi saya tahu perjalanan ini penuh dengan peringatan. Salah satu daripadanya adalah kejadian pada 6 Jun lalu iaitu hari lahir Kaia (anak saya).

“Pada hari yang sama, tuan rumah saya meninggal dunia di Arafah. Dengan hujan turun menandakan rahmahNya. Sudah bertahun-tahun saya melalui penyembuhan rohani. Kemudian pada 7 Jun, saya mengemas pakaian.

“Pakaian sopan untuk ke Kuala Lumpur. Tanpa dirancang, hanya mengikuti hati. Saya memakai selendang itu sekali lagi di sepanjang perjalanan melawat pusat pengajian Islam, menghadiri kelas. Jiwa saya memerlukan pengisian semula,” katanya.

Selebriti kacukan Melayu-Australia itu bagaimanapun diuji di Kuala Lumpur apabila dia dan anaknya yang dipercayai berusia satu tahun jatuh sakit namun disifatkan Natasha sebagai rezeki datang bersama dugaan.

Natasha bagaimanapun sekali lagi diduga selepas dua hari pulang ke Langkawi, Kedah yang kini menjadi tempat tinggalnya apabila anaknya Kaia kembali jatuh sakit dan terkena sawan.

“Alhamdulillah, Kaia sudah sihat sekarang. Setiap tumbuhan memerlukan tanah dan air untuk tumbuh semula. Harap saya juga akan berkembang dengan indah sekali lagi. Semoga Allah memberikan pengakhiran yang baik untuk saya, keluarga dan ummah.

“Bersyukurlah dengan setiap peluang yang diberikan oleh kehidupan kepada kita. Peluang untuk kembali, bercinta, bertaubat dan bersemangat semula dengan tujuan. Apa yang baru akan menjadi tua. Perkara lama mungkin akan hilang suatu hari nanti.

“Tetapi di antaranya, ada rahmat. Terdapat proses perubahan diri kepada lebih baik. Ada redha-penerimaan. Dengan setiap hijrah hati, semoga kita kembali mendekatkan diri kepada-Nya. Dengan setiap pengakhiran, semoga permulaan yang lebih baik terungkap.” Ujarnya.

Baca juga: Hanya mengemis, tapi hasil lebih RM100,000 setahun! Akhirnya lelaki ini…