Neelofa tampil buka mulut lepas netizen kritik pakej umrah ‘kayangan’ sampai RM35,000

Oleh KIM SYAZIE

Selepas dihentam banyak pihak ekoran pakej umrah ‘level’ kayangan sehingga mencecah RM35,000, pelakon dan pengacara jelita, Noor Neelofa akhirnya tampil menjelaskan hal sebenar.

Neelofa berkata, dia tidak berkecil hati apabila didakwa menyediakan pakej umrah pada harga yang tinggi kerana menurutnya ramai tidak tahu pakej itu sebenarnya sangat berbaloi untuk mereka yang berkemampuan memandangkan pelbagai perkhidmatan terbaik disediakan

Jelas Neelofa, hotel di bawah pakej yang disediakan adalah yang paling terbaik dan mempunyai kemudahan yang sering menjadi pilihan orang kenamaan di seluruh dunia.

“Saya tahu ramai yang mempersoal harga pakej umrah tersebut sehingga menjadi kecoh di ruangan maya sejak saya kongsikan poster itu di media sosial. Beginilah, saya tak salahkan mereka sebab tak tahu apa perkhidmatan yang disediakan.

“Kalau nak tahu, hotel di bawah pakej itu adalah yang terbaik dipilih oleh agensi Omrah Travel iaitu InterContinental Dar al Tawhid Makkah dan The Oberoi Madinah.

“Kedua-dua hotel ini mempunyai kemudahan dan perkhidmatan terbaik dan sering menjadi pilihan banyak pembesar dan orang kenamaan dari seluruh dunia. Saya pun dah pergi ke hotel itu beberapa kali dan memang mudah dengan jarak sangat dekat selain banyak kemudahan lain,” katanya.

Neelofa berkata demikian semasa ditemui pada majlis kursus umrah bersama Omrah Travel di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Selain itu, Neelofa juga menekankan dari aspek pengalaman yang berbeza bagi jemaah yang memilih dan mengikuti pakej umrah di bawah agensi tersebut.

“Sebenarnya, ini adalah pilihan masing-masing. Namun, mereka yang ikuti pakej ini pasti akan dapat rasa pengalaman yang berbeza. Bayangkan, harga hotel itu saja sudah cecah RM15,000 jika guna cara sendiri.

“Ini kita dah dapatkan harga istimewa sebab ziarah dilakukan secara berkumpulan. Pendek kata, banyak lagi manfaat lain yang ada untuk jemaah yang pilih pakej ini,” katanya.

Baca juga: Facebook Istana Negara dihujani rayuan pencarum mahu Agong benar keluar KWSP