Pembunuhan gadis berusia 25 tahun, Nur Farah Kartini Abdullah yang menggemparkan negara, meruntun hati ramai.
Bait kata-kata terakhir Nur Farah yang seakan tahu akan kepergiannya dikongsi banyak kali oleh pengguna media sosial.
Pada 8 Julai iaitu tiga hari sebelum kehilangannya, Allahyarham memuat naik status di aplikasi Thread tentang kekecewaannya.
“Mati rasa hanya kerana dikecewa dan disia-sia”.
Sementara itu, semakan di aplikasi Tiktok Allahyarham mendapati Allahyarham ada mengulang siar tentang “doa singkat” untuk selamat dalam agama, sihat tubuh badan, dapat taubat sebelum mati, mendapat rahmat sebelum mati dan mendapat keampunan.
Ulang siar terakhir itu sehingga kini meraih 2.6 juta tontonan dipercayai menjadi tumpuan netizen selepas berita kehilangannya diuar-uarkan oleh pihak media.
Selain itu hantaran terakhir dimuat naik Allahyarham di platform itu adalah pada 23 Jun lalu yang mana dia berkongsi satu rakaman video bersama beberapa rakan sedang menaiki sebuah bot laju.
Ruangan komen Allahyarham dibanjiri dengan ucapan takziah dan kata-kata simpati.
Semalam media mendedahkan punca Nur Farah dibunuh, didakwa dilakukan teman lelakinya yang berpangkat lans koperal.
Teman lelakinya itu dikatakan berang selepas didesak untuk mendedahkan hubungan mereka kepada isteri.
Menurut media tempatan, konflik percintaan antara suspek dan Farah Kartini berlarutan selepas mangsa mendesak suspek supaya berkahwin dengannya.
Namun dalam perkembangan terbaru, rakan Allahyarham mendakwa lelaki itu bukan teman lelaki, tetapi sekadar kawan yang menyimpan perasaan terhadap Nur Farah.
Baca juga: “Aku menyesal silap nilai isteri kedua suami, dia rela letak nama aku jadi penerima hibah”