Netizen Indonesia malu dengan Malaysia gara-gara isu ‘trending’ berkait PMX

Oleh KIM SYAZIE

Kisah pendakwah Indonesia, Ustaz Miftah Habiburarrahman atau lebih dikenal sebagai Gus Miftah yang memperlekeh seorang penjual teh ais menjadi topik perbincangan hangat rakyat negara ini.

Insiden itu turut disinggung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis bersama kakitangan Kementerian Kewangan pada 5 Disember lalu.

Video ucapan beliau beredar di media sosial sehingga menjadi bualan netizen Indonesia.

Susulan itu, mereka menyatakan rasa malu apabila cerita dari negara mereka sampai ke pengetahuan PMX.

“Malu banget sih beritanya dah sampe ke negara tetangga, perdana menterinya juga tau pula”.

“Malu maluin di bahas sama tingkat PM”.

“Pak Anwar Ibrahim dah cakap macam tu, apa ga malu si Miftah”.

“Perdana menteri Malaysia yang bicara begini… Ya ampun, betapa mencoreng nama pendakwah Indonesia,” demikian antara komen ditinggalkan netizen seberang.

Terdahulu Perdana Menteri berkata, sikap sombong dan angkuh kadangkala bukanlah dalam kalangan orang tidak tahu agama, tetapi sikap itu ada pada mereka yang sering membincangkan tentang akidah dan Islam.

Anwar berkata demikian ketika memberi respon mengenai seorang penjual teh yang diperlekehkan seorang Gus Miftah baru-baru ini.

“Sikap angkuh dan sombong itu kadang-kadang bukan sahaja dalam kalangan tidak tahu agama, (kadang kala) orang yang faham agama yang sering bincang tentang Islam, akidah, solat dan sunat tetapi bila timbul keadaan begitu dia boleh menghina.

“Saya lihat saya rasa aneh dan luar biasa, tetapi bagi saya pengajarannya menginsafkan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan.

Baca juga: “Aku jaga aib bekas suami, lepas tuntut fasakh maka terbongkar segalanya, barulah mentua tahu…”