Netizen minta Cik B ketepi, nak cuci mata tengok ‘bodyguard’ – “Tak nampak yang belakang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Sesi jualan secara langsung yang dibuat menerusi akaun media sosial milik anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial baru-baru ini.

Perkara ini berpunca daripada kehadiran seorang pemuda yang memiliki rupa paras menarik tampil berdiri di sisi Cik B dalam sesi siaran langsung dilakukan di platform TikTok tersebut.

Rupa-rupanya, pemuda dikenali sebagai Faris itu adalah pekerja Cik B yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan gadis berusia 20 tahun berkenaan selaku pengawal peribadi.

Kehadiran Faris dilihat telah membuatkan penonton sesi tersebut hilang fokus kepada sesi jualan yang dilakukan Cik B ataupun nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin itu.

Sebaliknya, mereka lebih memerhatikan gerak geri Faris malah ada juga di antara penonton berani menegur Cik B untuk beralih daripada bahagian hadapan kamera untuk melihat pemuda berkenaan dengan lebih dekat.

Lebih menghiburkan, beberapa pengguna media sosial juga sempat berseloroh mahu ‘merampas’ pengawal peribadi berkenaan daripada Cik B dan berkerja dengan mereka sahaja.

Sesi siaran langsung tersebut sempat dirakam sebelum dimuat naik semula di platform sama di mana pengawal peribadi berkenaan dilihat turut membantu Cik B untuk mempromosikan barangan jualannya.

Dalam perkongsian terbaharu, Cik B melalui akaun TikTok miliknya kembali memuat naik satu rakaman berdurasi 19 saat bersama Faris di mana mereka berdua memakai baju raya berwarna hitam.

Menerusi video yang berlatarbelakangkan lagu nyanyian Zizan Razak dan Kaka Azraff iaitu Infiniti Cinta itu, Cik B dilihat bersemangat membuat aksi ‘miming’ manakala pengawal peribadi terbabit hanya berdiri tegak.

Namun tinjauan di ruangan komen hantaran video yang berjaya meraih tontonan daripada 1.5 juta pengguna itu mendapati rata-ratanya malah memberi kata-kata pujian kepada pengawal peribadi berkenaan.

Berikut adalah antara komen-komen ditinggalkan oleh pengguna TikTok selepas menonton video dikongsi Cik B yang sudah mendapat sebanyak 115,700 tanda suka itu.

Baca juga: Indonesia kesan pembawa ajaran sesat, nak masuk ke syurga kena bayar tiket RM3.5k