Beberapa biji meja makan yang lengkap dengan kerusi di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu didakwa perlu dibayar sekitar RM15 hingga RM20 sebelum orang awam boleh duduk di situ.
Dalam satu video dikongsi akaun TikTok Murmur_travel_n_tour, pemilik video menunjukkan beberapa meja makan yang tertulis nombor meja dan harga untuk setiap meja.
Ia menjelaskan mengapa banyak kerusi meja yang kosong berikutan orang ramai memilih duduk di tepi-tepi batu pantai.
Difahamkan, kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan untuk pengunjung melihat matahari terbenam.
“No komen. Nak tengok sunset kan? Kenalah berkorban sikit,” tulis pemilik video.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai yang tertanya-tanya adakah caj seperti itu dibolehkan kerana ia adalah kawasan terbuka dan tempat awam.
Bagaimanapun, ada yang mendakwa kawasan itu adalah tanah persendirian, jadi terpulang kepada pemilik untuk mengenakan caj sebegitu.
Ada yang memberitahu harga yang dikenakan lebih mahal berbanding dahulu yang hanya sekitar RM10 sahaja.
“Tanjung Aru. Bukan taman awam kah. Kenapa duduk mesti bayar. Patut kerajaan buat fasiliti untuk orang awam seperti kerusi,” komen seorang pengguna TikTok.
“Itulah malas sudah mau pergi Tanjung Aru. Sudah lah susah parkir,” komen penduduk setempat.
“Kami pun ada pergi, jauh-jauh datang semata-mata mau tengok sunset sekali bayar tu meja dia. Patutlah banyak duduk di bawah berbanding duduk di meja,” komen yang lain.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan adakah caj meja sedemikian dibolehkan oleh kerajaan negeri atau pun tidak.
Baca juga: Lelaki bongkar rahsia orang Cina berbelanja, penting jaga ‘cash-flow’ kalau nak menyimpan!