Netizen ‘tertinggal bas’ perlu tonton penjelasan doktor ini, kenali sentuhan tak selamat buat kanak-kanak

Oleh MALAYSIADATELINE

Penangkapan seorang pemandu bas yang berkongsi rakaman murid sekolah rendah dengan melabelkan kanak-kanak perempuan di dalam kenderaan itu sebagai ‘crush’ atau seseorang yang diminati telah mencetuskan pendebatan di media sosial.

Seperti dijangka, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa lega sebaik pihak polis menangkap pemandu yang pernah merakamkan dirinya ketika mengusap bibir seorang kanak-kanak perempuan ketika sedang tidur itu.

Namun sayangnya wujud segelintir kecil masyarakat malah tidak memandang hal itu sebagai sesuatu yang serius berikutan kanak-kanak terlibat mungkin mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemandu bas berkenaan.

Mereka juga berpendapat bahawa pemandu bas yang ditahan di Simpang Renggam, Kluang, Johor itu tidak patut dikenakan tindakan kerana ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak terbabit tidak membuat laporan polis.

Perkara ini membuktikan bahawa masih ramai individu mempunyai kesedaran rendah mengenai keselamatan dan perlindungan kanak-kanak terutamanya berhubung ‘sentuhan selamat’.

Komen segelintir masyarakat berhubung penangkapan pemandu bas berkenaan.

Orang ramai apalagi bakal ibu bapa yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai pendidikan sentuhan selamat untuk kanak-kanak bolehlah membaca atau menonton penjelasan daripada pegawai perubatan dikenali sebagai Dr. Alpha Zaki ini.

@alepza11

Kita boleh beza “baik” yang betul baik atau “baik” yang tak baik. Vibe tu tak sama. Menteri pun dah arahkan siasatan. Kita tengok macam mana. #dralphazaki

♬ original sound – Alpha Zaki – Alpha Zaki

Jelas Alpha Zaki, anak-anak perlulah diberikan pendidikan tentang sentuhan selamat daripada ibu bapa dan penjaga supaya perbuatan ‘child grooming’ atau aktiviti pengantunan seksual oleh orang dewasa dapat dielakkan.

Doktor yang juga pempengaruh TikTok itu menjelaskan bahawa kebanyakkan pelaku aktiviti ini terdiri daripada individu dikenali mangsa seperti ayah, adik-beradik, pak cik, atuk, sepupu atau orang luar yang terdekat seperti cikgu serta pemandu bas.

Menurut Alpha Zaki, aktiviti child grooming ini tidak sama seperti jenayah biasa sebaliknya ‘pemangsa’ menunggu berbulan-bulan malah bertahun untuk mendapat apa yang mereka mahukan.

“Mak ayah atau penjaga perlu ajar anak sentuhan yang selamat dan tidak selamat. Tempat apa boleh dipegang, tempat apa yang tak boleh dipegang oleh orang lain.

“Tempat yang wajib tak boleh pegang adalah bibir, dada, punggung dan kemaluan. Ajar anak itu, tak kisahlah lelaki ke perempuan. Sebab benda kalau nak jadi, bukan kepada perempuan sahaja,” katanya.

Tambahnya, sentuhan yang tidak selamat ini adalah sesuatu perkara yang ‘alarming’ atau membimbangkan di mana ia boleh menjadi punca berlakunya aktiviti pengantunan seksual dan penderaan kanak-kanak.

Pemilik nama sebenar Dr. Muhammad Aliff Md. Zaki itu turut berkongsi ciri-ciri untuk mengenal pasti mangsa child grooming yang mana salah satunya adalah perubahan perilaku anak-anak.

Sebagai contohnya, kanak-kanak yang dikenali sebagai anak periang ataupun ceria tiba-tiba berubah secara drastik menjadi seseorang pendiam serta lebih gemar mengasingkan diri mereka.

“Kedua, tengok prestasi akademik. Contohnya kalau dulu seorang yang cemerlang (dalam peperiksaan), tak ada gagal pun. Tiba-tiba sekarang asyik gagal sahaja. Kena tengoklah.

“Mesti ada sesuatu yang menganggu pemikiran untuk fokus belajar dan peperiksaan. Ketiga, contohnya dia ada mengadu sakit dekat bahagian-bahagian tertentu,” jelasnya dalam satu hantaran di TikTok.

Mengulas lanjut, Alpha Zaki berkata seseorang pedofilia itu dapat dikesan jika sering mendekatkan diri atau mendapatkan kepercayaan mangsa dengan pelbagai cara sebagai contohnya memberi mainan, gula atau hadiah.

“Dia juga ‘membiasakan’ mangsa dengan sentuhan yang tak sepatutnya. Contohnya main-main dengan bibir atau tubuh mangsa sambil berkata ‘comelnya awak’. Apabila kanak-kanak itu sudah percaya, maka mereka akan serahkan segalanya.

“Kerana mereka menganggap tindakan itu adalah salah satu cara untuk menunjukkan atau membalas kasih sayang. Jadi tugas kita sebagai orang dewasa untuk cegah dan cakna sekiranya perkara ini berlaku.

“Jadi kalau nampak ada ‘content’ (kandungan) yang ada elemen pedofilia, tolonglah laporkan. Maka sama-samalah kita menjaga anak-anak supaya mereka selamat daripada benda-benda yang jahat dalam dunia ini,” ujarnya.

Terdahulu, seorang pemandu bas sekolah telah mengundang kemarahan dan kerisauan orang ramai kerana sering memuat naik rakaman kanak-kanak di akaun TikTok miliknya dengan kapsyen keterlaluan.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengarahkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak untuk membuat laporan polis dengan segera selain bekerjasama dengan D11 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Johor.

Baca juga: Usap bibir budak tidur, netizen jijik lihat kelakuan pemandu bas sekolah, siap ‘upload’ dekat TikTok