Aktivis dan Ngo Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menyerahkan satu nota Bantahan “Hentikan Kekejaman Dan Pemusnahan Kawasan Penempatan Yang Tidak Berperikemanusiaan di Sheikh Jarrah Baitulmaqdis” di Kedutaan Amerika Syarikat.
AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil turut hadir bersama tokoh-tokoh aktivis dan NGO yang diketuai Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid berhimpun sebagai tanda solidariti dan menyatakan bantahan terhadap kekejaman Israel menjarah bumi Palestin.
Faiz yang juga ADUN Permatang Pasir turut menggesa Malaysia agar memanggil sidang khas Parlimen dengan segera berhubung kekejaman Israel menjarah bumi Palestin dan yang terkini di Sheikh Jarrah.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam (inhumanitirian and barbaric acts) ini perlu dikutuk sekeras-kerasnya kerana Israel terus merampas tanah-tanah penduduk Palestin di kawasan Sheikh Jarrah.
“Merampasan tanah ini adalah usaha pembersihan etnik oleh Israel yang mengusir penduduk Palestin daripada mendiami tanah air mereka sendiri.
“Keadaan ini membimbangkan kerana setiap hari rejim Israel terus bertindak ganas merobohkan rumah dan merampas tanah-tanah penduduk Palestin di Sheikh Jarrah,” katanya.
Sheikh Jarrah merupakan kawasan yang dianggarkan seluas 200 ekar yang terletak di Baitumaqdis Timur.
Kawasan ini merupakan penempatan semula penduduk Palestin selepas berlakunya perjanjian antara perjanjian antara Agensi Bantuan dan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan kerajaan Jordan yang menyaksikan 28 keluarga dipindahkan ke kawasan ini pada tahun 1956.
Kini, dilaporkan, rakyat Palestin yang tinggal di kawasan ini sekitar 165,000 orang.
Ketegangan di Sheikh Jarrah memuncak pada tahun November 2021 susulan Mahkamah Tinggi Israel (HCJ) memutuskan syarikat Nahalat Shimon sebagai pemilik hartanah di Sheikh Jarrah dan 3 keluarga Palestin akan dipaksa membayar sewa dua tahun sekali dalam jumlah 2,400 shekel (AS$743).
Penduduk Palestin terbabit menolak tawaran mahkamah tersebut dan menganggap penyelesaian itu sebagai usaha untuk merampas terhadap tanah yang dimiliki mereka.
Mengikut Pejanjian Arab-Israel pada tahun 1948, Israel tidak mempunyai hak menuntut Tebing Barat dan juga Baitul Maqdis Timur dan mereka perlu berundur di kawasan tersebut.
Namun demi mencapai cita-cita mereka untuk meluaskan negara haram mereka, Israel terus merampas tanah penduduk Palestin di Tebing Barat dan juga Baitul Maqdis Timur.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kadar pencerobohan Israel ke atas rumah penduduk Palestin di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis meningkat sebanyak 21% pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Faiz, kini kira-kira 200 keluarga penduduk Palestin di Sheikh Jarrah berisiko untuk diusir daripada tanah mereka oleh rejim Israel akibat Perintah Mahkamah.
Langkah ini dilakukan katanya, bagi memastikan penempatan haram penduduk Israel dapat dibina dan meningkatkan populasi penduduk tersebut di kawasan ini.
“Sehingga kini lebih 200,000 penduduk Israel tinggal di Sheikh Jarrah dan populasi ini akan terus bertambah sekiranya usaha pengusiran terus berlaku oleh rejim Israel,” katanya lagi.
Namun katanya, sikap membisu negara-negara Islam termasuklah kerajaan Malaysia amat dikesali.
Katanya, organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB perlu bertindak segera dalam menghentikan keganasan yang terus berlaku ini.
“Tindakan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikecam oleh masyarakat Malaysia dan antarabangsa dan Israel perlu menghentikan jenayah kemanusiaan ini dengen segera,” katanya.