Niat buat pinjaman untuk bayar yuran sekolah, lelaki dakwa dianiaya ‘scammer’, akaun bank disalahguna

Oleh MAISARAH AISYA

Jangan sesekali membenarkan orang lain memegang akaun bank atau kad ATM kerana jika ada penipuan berlaku yang menjadi mangsa adalah anda sendiri.

Dalam tak sedar ramai yang menjadi mangsa, ada yang dengan senang hatinya memberikan akaun bank ada juga disuruh melakukan perkara tersebut.

Niat hanya mahu buat pinjaman untuk bayar yuran sekolah anak, seorang lelaki tidak sangka diri menjadi mangsa penyalahgunaan akaun bank lapor Harian Metro.

“Saya hanya nak buat pinjaman untuk bayar yuran sekolah anak tapi tak sangka akaun digunakan untuk itu (penipuan), saya dianiaya,” rayuan salah seorang lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar.

Kedua mereka menghadapi pertuduhan membenarkan ‘scammer’ menggunakan akaun untuk kegiatan penipuan pembelian kenderaan dan penipuan bungkusan barangan tidak wujud.

Tertuduh, Mohd Amin Paiman, 50, dan Mohd Syafiq Farhan Maliki, 32, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhi hukuman denda RM10,000 seorang serta mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Kedua-dua tertuduh membayar denda.

Dalam pertuduhan, keduanya dikatakan terbabit dalam transaksi kemasukan wang secara tidak langsung yang masing-masing berjumlah RM14,700 dan RM2,906 ke akaun atas nama mereka.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah bank dan rumah di daerah ini, 11 pagi hingga 12.11 tengah hari, 9 dan 11 Mac lalu.

Menurut fakta kes kedua mereka dikatakan membuat pinjaman dengan dua individu tidak dikenali.

Kemudian mereka didakwa menyerahkan kad ATM kepada scammer terbabit sebelum akaun itu digunakan oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Baca juga: Wanita mualaf sukar dapat bantuan zakat, berhasrat mahu kembali ke agama asal