Isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz kembali menarik perhatian ramai selepas memuat naik hantaran yang seakan-akan memberi bayangan bahawa rumah tangganya kini berada di ambang penceraian.
Nilam menerusi perkongsian dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu turut menitipkan pesan khusus buat mereka yang belum mendirikan rumah tangga supaya mengikut proses Islam dalam memilih bakal isteri atau suami.
Jelasnya, golongan bujang sebaiknya tidak meninggalkan proses ‘Istisyarah’ dan ‘Taaruf’ (berkenalan dengan tujuan untuk menikah) selain beristikharah (solat sunat) sebelum memutuskan untuk ke jinjang pelamin.
Proses ini juga dapat membantu golongan bujang untuk mengenali pasangan mereka secara lebih mendalam dan objektif tanpa dipengaruhi emosi mahupun ‘terbuai-buai’ dengan perasaan yang dialami ketika itu.
“Ingatkan anak lelaki dan perempuan kita agar berkahwin mengikut proses yang betul di dalam agama Islam. Selain istikharah, lakukan juga istisyarah. Istisyarah bermaksud meminta nasihat dan bertanya pandangan dari mereka yang lebih mengetahui.
“Sama ada berdasarkan pengalaman atau kerana mereka mengenali orang yang ingin dikahwini itu. Proses ‘taaruf’ pula untuk kita lebih ‘kenal’ bakal pasangan dengan tidak melibatkan hormon yang membuatkan kita terbuai-buai. Waktu ini juga kita boleh tanya kenalan terdekat.
“Termasuklah ibu atau bapa saudara, atuk dan juga nenek kepada bakal pasangan kita agar lebih mengenali mereka dengan betul. Kalau dalam proses ini tak jadi nak teruskan hubungan, tidak mengapa. Sebab belum terikat dan tiada rasa bersalah untuk menolak,” jelas Nilam.
Menurut Nilam, mereka yang memilih pasangan dengan berpandukan perasaan mungkin akan mengabaikan sisi atau petanda buruk (red-flag) di dalam sikap bakal isteri mahupun suami sebelum menghalalkan hubungan.
Hal ini boleh menyebabkan gangguan di dalam proses membuat keputusan sehinggakan seseorang itu tersalah memilih pasangan dan tidak mustahil akan mencetuskan salah faham dalam rumah tangga selepas berkahwin.
“Sebolehnya peluang berkenalan diguna sebaik mungkin untuk melihat sisi kanak-kanak pasangan kita. Berhenti membayangkan untuk hidup bahagia dengan lelaki yang kelihatan soleh tetapi lisannya suka merendahkan dan menyakitkan orang lain.
“Baik lelaki mahupun yang perempuan, lisan itu cerminan hati. Jadilah hamba yang berusaha mencari yang terbaik. Persiapkan dan terus perbaiki diri agar menjadi versi yang lebih baik dari sebelumnya. Kita tidak perlu mengejar dan mengikut penilaian manusia lain untuk bahagia.
“Tak perlu takut dan rasa sunyi walaupun fitrah kita perlu ditemani. Kerana sesungguhnya, kita tidak pernah benar-benar sendiri dalam hidup ini.” Kongsi Nilam memetik penulisan Syahirah Omar dalam perkongsian yang kini sudah meraih mencecah 900,000 tontonan itu.
Baca juga: Ramai tak sedar 7 benda remeh inilah jadi punca poket bocor, nombor 6 paling ‘relate’