
SELEPAS mendengar hujah kedua-dua pihak, pegumbela Mohamad Sabu (Abang Mat) dan pendakwa-kami menjangkakan pada mulanya mungkin Hakim Meor akan menetapkan tarikh lain bagi membuat keputusan sama ada wujud atau tidak wujudnya kes prima facie.
Namun jangkaan kami silap. Hakim Meor sebaliknya hanya “stood down” (tangguh sebentar) kes tersebut dan akan membuat keputusan di akhir kes pendakwa pada hari itu juga. Secara jujur, apabila seorang hakim itu agak cepat juga buat keputusan iaitu di hari yang sama selepas mendengar hujah, ia memberi satu “signal” (petanda) yang sukar untuk dibaca.
Petandanya mungkin positif kepada Abang Mat atau mungkin juga negatif kepada beliau. Sejujurnya, saya tak boleh nak baca. Meskipun saya agak yakin keputusan hakim mungkin akan berpihak kepada Abang Mat iaitu beliau mungkin akan dibebaskan hari itu juga, namun saya juga dalam masa yang sama ragu kerana dua sebab.
Sebab pertama kerana kes ini melibatkan Abang Mat, tokoh politik yang mungkin dikelilingi ramai musuh politik khususnya daripada parti memerintah. Sebagai peguam yang agak banyak kendalikan dan terdedah dengan kes-kes politik, Alhamdulilah saya sudah menyediakan diri saya untuk sentiasa bersedia menerima hakikat pahit. Tak mudah nak menang kes di mahkamah jika kes itu melibatkan sama ada tokoh politik seperti Abang Mat atau kes itu adalah kes politik.
Sebab kedua adalah keadaan (nature) kes ini sendiri. Daripada awal, Abang Mat sering digambarkan atau dimomokkan (demonised) sebagai “petualang” atau ” penderhaka” atau “penyokong Komunis” oleh musuh-musuh politiknya. Bagi saya, “the end game”nya adalah musuh politik Abang Mat mahu menang dan dalam masa yang sama mahu Abang Mat tewas dengan teruk. Justeru itu, musuh politik Abang Mat amat perlukan keputusan Mahkamah yang tidak memihak kepada Abang Mat.
Jika keputusan Mahkamah memihak kepada pendakwa dan sekaligus mensabitkan Abang Mat bersalah, sudah tentu, secara relatifnya, ianya lebih mudah dan selesa bagi musuh politik Abang Mat. Ia membuktikan segala gambaran dan momokan yang mereka lakukan ke atas Abang Mat yang beliau adalah “penderhaka” atau “penyokong Komunis” adalah betul. Buktinya Mahkamah juga mensabitkan Abang Mat bersalah. Sebaliknya, jika Abang Mat diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah, musuh politik Abang Mat terpaksa berhadapan dengan satu realiti yang pahit iaitu tuduhan ke atas Abang Mat adalah bermotif “politik” semata- mata. Jadi pertaruhannya agak besar di sini.
Saya juga yakin Abang Mat akan menang kes ini dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri kerana saya yakin hujah kami lebih kuat dibandingkan hujah pendakwa. Lagi satu, semua orang dapat lihat betapa lemahnya keterangan saksi-saksi pendakwa. Malahan ada saksi pendakwa yang keterangannya atau kredibilitinya teruk terjejas setelah disoal balas oleh pasukan peguam Abang Mat.
Selepas penangguhan sebentar, kes dipanggil semula oleh Hakim. Saya, Amin dan Nasar berdebar. Abang Mat juga berdebar. Para penyokong Abang Mat yang hadir juga berdebar. Akan tetapi nasib menyebelahi Abang Mat. Hakim memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes ‘prima facie’ ke atas Abang Mat. Maka diputuskan juga yang Abang Mat tidak bersalah dan tidak perlu dipanggil untuk membela diri.
Kami bertiga mengucap syukur Alhamdulillah dengan kemenangan tersebut. Rasa lega sikit selepas hampir 4 tahun perbicaraan yang membawa kami ke Pulau Pinang, Petaling Jaya, Putrajaya dan Kuala Terengganu. Saya tak ingat sama ada keputusan hakim tersebut disambut dengan laungan takbir atau tidak. Saya rasa ada laungan takbir. Kami kemudian bersalam dengan ‘team’ pendakwa yang diketuai oleh Dato’ Razali.
Sejurus sahaja Abang Mat dibebaskan dan sejurus sahaja beliau dan para peguamnya serta para pengikutnya keluar daripada bilik persidangan Mahkamah, kami dipanahi dengan laser kamera dan soalan-soalan daripada para wartawan yang agak ramai. Abang Mat mengucapkan syukur kepada Tuhan. Beliau juga berterima kasih pada para peguamnya. Wartawan juga ada bertanyakan saya tentang keputusan kes tersebut tapi saya tak ingat apakah jawapan yang saya berikan kepada para wartawan pada hari tersebut.
Pada hari itu dan esok, berita kemenangan kes itu telah muka merata di media-media online dan cetak di seluruh negara.
Kegembiraan kami menyambut kemenangan Abang Mat tersebut bagaimanapun tidaklah begitu lama. Ini kerana pihak pendakwa, tidak lama selepas itu, telah memfailkan notis rayuan bagi mencabar keputusan Hakim Meor itu di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Sedikit mengenai proses rayuan kes jenayah. Di dalam sistem jenayah yang ada sekarang, wujudnya, bagi saya, amalan berat sebelah atau diskriminasi yang ketara selepas hakim bicara memutuskan sesuatu kes di akhir kes pendakwa. Di dalam konteks kes Abang Mat, pihak pendakwa boleh merayu terhadap keputusan Hakim Meor itu di Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa Abang Mat tidak bersalah dan tidak perlu dipanggil membela diri. Hakikatnya, pendakwa boleh merayu sebanyak dua kali iaitu merayu di Mahkamah Tinggi dan jika masih kalah lagi di Mahkamah Tinggi, pendakwa boleh sekali lagi merayu di Mahkamah Rayuan. Dan inilah yang berlaku di dalam kes ini.
Bagaimanapun, andai kata Hakim Meor memutuskan pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Abang Mat di akhir kes pendakwa dan memutuskan misalnya Abang Mat untuk dipanggil membela diri, Abang Mat tidak dibenarkan merayu di Mahkamah Tinggi pada peringkat ini. Apa yang Abang Mat boleh lakukan di akhir kes pendakwa jika diperintahkan membela diri adalah bukan merayu.
Sebaliknya beliau kena membela diri sama ada memilih untuk berdiam diri atau memberi keterangan secara bersumpah dan boleh disoal balas oleh pendakwa atau hanya memberi keterangan dari kandang tertuduh dan pendakwa tidak boleh menyoal balas beliau. Pilihan yang ketiga itu dinamakan “unsworn statement from the dock” (kenyataan tidak bersumpah daripada kandang), tapi nilai keterangan itu tidaklah sekuat pilihan kedua.
Contoh yang paling klasik OKT memilih untuk memberi keterangan dari kandang adalah kes perbicaraan “tuduhan liwat 2” yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dan yang lebih popular lagi sebelum itu kes mendiang Nelson Mendela iaitu kes perbicaraan Rivonia (a Rivonia trial). Di dalam kes itu, mendiang Mendela telah memberi “statement from the dock” selama 3 jam dan kenyataan/ucapan beliau itu dikenali juga sebagai kenyataan/ucapan, “I am prepared to die” (Saya bersedia untuk mati).
Memandangkan OKT seperti Abang Mat tidak boleh merayu sekiranya dipanggil membela diri di akhir kes pendakwa, maka OKT kena menunggu dahulu proses membela diri beliau disempurnakan sehingga Hakim memutuskan sama ada beliau bersalah atau tidak di akhir kes itu. Jika OKT diandaikan diputuskan bersalah di akhir kes itu, barulah ketika itu beliau boleh merayu di Mahkamah Tinggi dan jika masih kalah di Mahkamah Tinggi, OKT boleh pula merayu ke Mahkamah Rayuan.
Tetapi OKT seperti Abang Mat tidak boleh merayu serta merta andai kata beliau dipanggil membela diri di akhir kes pendakwa. Hak untuk merayu itu hanya diberikan kepada pendakwa di akhir kes pendakwa. Mungkin rasionalnya bila OKT dipanggi membela diri, ia bukan dikira pemuktamadan (finality) haknya. Dia masih boleh merayu cuma rayuan itu ditunda sedikit. Sedangkan jika Mahkamah bebaskan OKT di akhir kes pendakwa, ia ibarat pemuktamadan (finality) kes pendakwa. Sebab itu mereka boleh merayu.
Sekali pandang agak rasional juga pandangan itu. Namun bagi saya, kaedah itu bersandarkan satu anggapan atau premis yang tidak tepat iaitu seolah-olah keputusan hakim bicara yang perintahkan OKT membela diri tidak ada cacat celanya, maka tak boleh dirayu serta merta pada waktu itu. Jika nak rayu, kena tunggu.
Isunya bagaimanakah jika keputusan hakim bicara yang putuskan OKT membela diri itu jelas salah, wajarkah OKT dipaksa kena tunggu juga sehingga proses membela diri itu selesai terlebih dahulu?
Dan bagaimana jika proses membela diri itu pula memakan masa yang amat panjang sedangkan keputusan dipanggil membela diri itu jelas silap. Dan bagaimana selepas proses bela diri selesai, OKT tak mahu rayu sebab tak ada wang nak dapatkan khidmat peguambela?
Bagaimana pula jika OKT dalam kategori kes yang tak boleh dijamin, sedangkan keputusan di akhir kes pendakwa terang-terang silap? BERSAMBUNG
____________________
Mohamed Hanipa Maidin ialah Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH dan ahli parlimen Sepang.