Nurul Izzah dilantik penasihat strategik SIDEC yang baru

Oleh ROSLAN ZAMAN

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dilantik sebagai Penasihat Strategik Eksekutif Perbadanan Teknologi Informasi dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Nurul Izzah akan bertangungjawab sebagai penasihat strategik bagi komunikasi antara syarikat dan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Beliau terlibat aktif dan mempunyai minat yang mendalam terhadap pembangunan generasi muda, teknologi dan juga kemahiran. Itu, adalah langkah ke depan untuk beliau terlibat bersama-sama dalam membantu dan menyusun pembangunan semikonduktor.

“Beliau juga berada di belakang tabir sebenarnya dalam beberapa pengembangansemi konduktor di Malaysia dalam tempoh setahun yang lepas. Jadi, kita ambil beliau untuk membantu menghubungkan kita dengan Kerajaan Persekutuan dan juga networking yang dibina selama beberapa tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan 10 Tahun SIDEC.

SIDEC kini memberi tumpuan kepada perkembangan industri semikonduktor melalui pembangunan Malaysia Semiconductor IC Design Park di Puchong, sambil meneruskan latihan pendigitalan perniagaan kepada peniaga kecil.

Sebelum ini, Nurul Izzah pada bulan Mei yang lalu menang sebagai timbalan Presiden PKR yang baru mengalahkan Rafizi Ramli.

BACA: Nurul Izzah