Nurul Izzah ditahan Imigresen Sarawak

Oleh MALAYSIADATELINE

 

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izah Anwar hari ini ditahan oleh pihak Imigresen sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching petang tadi.

Melalui sumber diterima Malaysia Dateline daripada Angkatan Muda Keadilan Selangor, yang memaklumkan  Nurul Izzah hari ini dalam penerbangan  Air Asia AK 5210 dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Beliau ditahan sejurus selepas tiba di  pintu  masuk Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 3.40 petang ini.

Pihak Imigresen tidak membenarkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memasuki negeri itu tanpa beliau dimaklumkan tujuan penahanan itu dilakukan oleh pihak Imigresen.

Ketika berita ini ditulis, sumber memaklumkan, beliau  masih  lagi  ditahan pihak Imigresen Kuching dan kini  satu perundingan sedang dilakukan.

Nurul Izzah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR  berkunjung ke negeri itu hari ini, bagi mendengar sesi pengumuman calon PKR yang bakal bertanding di Sarawak.

Diarah kembali ke Kuala Lumpur

Terkini dimaklumkan,Nurul Izzah gagal memasuki Sarawak dan beliau dijangka akan menaiki penerbangan Air Asia AK5211  dari Kuching ke Kuala Lumpur dan akan tiba di KLIA 2 pada jam 6.55 petang ini.

Ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 sebaliknya akta itu melanggari  hak seorang ahli politik kata Nurul Izzah

Nurul Izzah menunjukkan notis larangan kemasukannya ke Sarawak di bawah Akta Imigresen 1959/1963 sejurus tibadi KLIA2 lewat petang tadi.Pengarah Pilihanraya PKR, Nurul Izzah Anwar dihalang masuk ke Sarawak menerusi notis penolakan masuk di bawah Seksyen 65(1) (a) Akta Imigresen 1959/1963.

Menurut beliau, kehadirannya di Sarawak bersama pimpinan tempatan Keadilan semata-mata menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk solidariti dengan bakal calon-calon tempatan Keadilan menjelang PRN Sarawak.

Bagaimanapun Naib Presiden Keadilan itu berkata, penahannya itu bertentangan dengan hak beliau sebagai seorang ahli politik selaku ahli dewan rakyat.

“Jelas Akta Imigresen 1956/1963 itu hanya menyekat penghijrahan beramai-ramai orang Semenanjung ke Sarawak dan Sabah bukan kepada ahli parlimen yang diberi hak untuk menjalankan tugas kepada rakyat.

“Seksyen 67 Akta Imigresen itu juga tidak boleh menyekat sesiapa untk memasuki Sabah dan Sarawak untuk tujuan aktiviti politik

“Tindakan ini merupakan salah guna kuasa pihak berkuasa negeri yang seharusnya menumpukan agenda keselamatan warga Sarawak daripada anasir penganas, penjenayah dari luar dan dari dalam negeri – bukannya ahli parlimen, wakil sah badan perundangan dalam aktiviti politik dan berpersatuan yang sah,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dimaklumkan ditulis beliau ketika sedang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sementara menunggu penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Lembah Pantai ini juga melahirkan rasa tidak putus asa untuk kembali ke Sarawak.

“Buat teman-teman semua- semarakkan bumi Sarawak dengan laungan keadilan. Khusus bila mana Sarawak digunapakai untuk meneruskan hayat Barisan Nasional (BN) yang tercalar buruk akibat Perdana Menteri dan akaun peribadinya.

“InsyaAllah saya akan kembali ke bumi bertuah Sarawak dan menumpukan segala usaha terhadap merancakkan lagi kebajikan anak-anak Sarawak menerusi pimpinan YB Baru Bian serta wakil dewan undangan negeri serta pimpinan yang lain.” ujarnya.

Nurul Izzah telah ditahan pihak Imigresen jam 3.40 petang tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan di arahkan keluar semula dengan menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur dan selamat tiba pada jam 6.10 petang tadi.- Malaysia Dateline.