Ahli Parlimen Batu Tian Chua menganggap pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram tidak harus dipolimikkan dan menyelar tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang seakan ‘membuli’ Ahli Parlimen Lembah Pantai itu di Dewan Rakyat semalam.
“Isu ini harus dihentikan polemiknya dan fokus kepada (perkara) lebih besar dan kepentingan masyarakat,” katanya dipetik dari portal berita.
Semalam usaha pembangkang untuk menyekat Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar daripada dirujuk ke ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ekoran pertemuan dengan Jacel Kiram gagal selepas 105 undian belah bahagian menyokong usul tersebut.Pembangkang hanya memperoleh 77 undian sahaja.
Dengan lulusnya usul itu, Nurul Izzah yang juga Naib Presdien PKR akan memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut yang diwakili ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
Tian Chua turut menafikan dakwaan kononnya pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel itu dirancang terlebih dahulu, sebaliknya, pertemuan itu adalah undangan pihak penganjur dan mereka hanya menjadi tetamu.
Sementara itu, Peguam R. Sivarasa yang mewakili Tian Chua dan Nurul Izzah yang disiasat polis kerana pertemuan itu, berkata, keterangan yang diambil daripada kedua-dua Naib Presiden PKR itu, hanya untuk siasatan polis.
Menurutnya, tiada kertas siasatan dibuka dan mereka hanya menjelaskan tujuan pertemuan itu kepada polis.
“Kami tiada masalah untuk hadir beri keterangan dan tiada apa untuk disembunyikan,” katanya.
Sivarasa turut mendakwa, isu tersebut diperbesarkan kerajaan, kerana kad “bebaskan Anwar” yang ditunjukkan dalam pertemuan itu.
Menurutnya, tindakan tersebut mengundang kemarahan kerajaan, kerana pihak luar bersimpati dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dipenjarakan.
Pertemuan yang dianjurkan Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia bagi Demokrasi, pejabat Datuk Bandar Manila serta pejabat Naib Presiden Filipina itu, dihadiri Nurul Izzah dan Tian Chua, pada awal November lalu, telah mendapat kritikan, selepas gambar anak sulung Anwar itu bersama Jacel tersebar di laman sosial.