Nurul Izzah kini jadi taruhan utama untuk Timbalan Presiden PKR

Oleh BORHAN AHMAD

Menjelang hari penamaan calon pemilihan pimpinan utama PKR esok (8-9 Mei 2025), pelbagai pihak membuat kenyataan agar Nurul Izzah Anwar dipilih untuk memegang jawatan timbalan presiden parti itu.

Bagi mereka, Nurul adalah pilihan terbaik kerana beliau mempunyai karisma kepimpinan di samping dapat memahami dengan mendalam perjuangan PKR kerana terlibat sejak awal lagi.

Cadangan memilih Nurul dibuat ketika PKR dikejutkan dengan tindakan Rafizi Ramli mengambil cuti ketika negara sangat memerlukan Menteri Ekonomi untuk berdepan dengan Tindakan perang tarif Presiden Trump, Amerika.

Ekoran itu, Rafizi diasak dengan pelbagai pertanyaan, adakah kerana kekalahan ramai penyokong beliau di peringkat cabang atau kerana mahu membuat persiapan sepenuhnya bagi berdepan pemilihan PKR kali ini.

Selain nama Nurul Izzah, turut disebut bakal berdepan dengan Rafizi adalah Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, orang kepercayaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Melaka, lima ketua cabang membuat cadangan terbuka agar Nurul Izzah dipilih sebagai calon timbalan presiden.

Mereka adalah Shamsul Iskandar Mohd Akin (Hang Tuah Jaya), Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan (Alor Gajah), Azlan Osman (Tangga Batu), Jagatheason a/l Ramiah (Jasin) dan Md Yusof Ahmad (Kota Melaka).

Shamsul Iskandar adalah Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan tetapi soal masa depan Keadilan sebagai parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat,” kata kenyataan bersama mereka.

Ketua Cabang Seremban, Noor Iskandar Mohamed Noor, berkata okongan penuh untuk Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden demi memperkukuhkan lagi parti yang membawa suara semua rakyat Malaysia.

Jelasnya, tidak timbul isu ‘dinasti keluarga’ menguasai PKR kerana jika dilihat parti DAP dan UMNO, juga pernah melakukan perkara sama.

“Yang penting ketokohan dan kredibiliti seorang pemimpin itu perlu diukur melalui pencapaian dan prestasinya,” kata beliau.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang pernah disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam ‘Project Syndicate Forward Thinkers List’, sebelum ini mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan PKR yang akan berlangsung 24 Mei ini.

Sementara itu, Ketua Cabang Batu Gajah, Tamil Selvan, berkata sudah tiba masanya semua cabang PKR tampil untuk membuat pendirian sama demi menjamin masa depan parti itu.

Menurutnya, ini adalah masa yang tepat untuk mengangkat pemimpin yang banyak berjasa dan berkorban untuk parti.

“Nurul Izzah sudah melalui detik yang cukup mencabar dalam sejarah perjalanan parti ini.

“PKR memerlukan pemimpin yang kukuh dan mantap untuk mengharungi cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Johor, Melaka dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16.

“Kita perlu perkasakan parti, jadi pemilihan ini cukup penting untuk menubuhkan pasukan Presiden yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Cabang PKR Grik, Dr Ahmad Safwan Mohamad juga mencadangkan agar Nurul Izzah yang dinamakan sebagai Puteri Reformasi ini dicalonkan untuk merebut jawatan itu.

Katanya, kepimpinan PKR memerlukan tiga ciri utama iaitu kefahaman sejarah, ketajaman dasar dan keberanian moral.

Walaupun ramai yang layak, katanya, beliau menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah.

Di Sabah, Ketua Cabang Kota Kinabalu juga menyatakan sokongan kepada anak Anwar Ibrahim ini.

Lee Li Mei yang mengetuai cabang itu berkata, dengan penuh iltizam dan tanggungjawab beliau tampil memberikan sokongan terbuka dan tidak berbelah bahagi kepada Nurul.