Obama datang bawa malapetaka, kecam pengguna media sosial

Oleh BORHAN AHMAD

 

Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama mulai Jumaat lalu sempena Sidang Kemuncak Asean ke-27 yang melabuhkan tirai semalam mengundang kutukan sebahagian pengguna media sosial khasnya melalui laman Facebook.

Pemerhatian Malaysia Dateline mendapati ramai netizen bimbang dengan kesan jangka panjang lawatan kedua Obama ke negara ini selepas April 2014 lalu yang dilihat banyak pihak berkaitan dengan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menyifatkan ketibaan Presiden negara yang pro-Zionis Israel itu sebagai tidak memberi banyak kebaikan walaupun AS kononnya mendakwa memerangi keganasan, Iwan Spassky mempersoal kawalan keselamatan luar biasa terhadap Obama.

“Apahal sampai ‘sniper’ ada di atas dewan bangunan Taylor’s University? Pengganas pun tak hadaplah nak bom kau (Obama). Rakyat Malaysia terutamanya negara Asia bukannya suka sangat Amerika. Datang pun bawa malapetaka saja,” bidas beliau dalam catatannya di Facebook.

Turut berkongsi pandangan sama, Abu Ayub menyatakan AS jelas menyokong dan membantu Israel yang sudah lama mengamalkan fahaman melampau dengan menyalurkan wang dan peluru bagi menindas dan membunuh rakyat Palestin dan memporak-perandakan negara Islam lain.

“Apakah ada nilai walau sedikit pun kata-katamu Obama? Amerikalah menyokong tentera Mesir membunuh beribu-ribu rakyatnya dan menjatuhkan pemerintahnya yang sah,” tegas Abu Ayub lagi.

Bagi penulis Nik Mohd Iznan pula, beliau dengan nada sindiran membayangkan ‘kemungkinan’ AS berhasrat untuk bersama-sama Asean memandangkan keterlibatan ketara negara itu di rantau ini termasuk dalam isu strategik berkaitan tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan.

“Tidurlah, mana tahu esok Obama datang lagi dan Amerika menghantar permohonan untuk menjadi anggota Asean,” ujarnya malam tadi.

Sementara itu, Hasbie Muda menyifatkan akal yang rasional dan adil menentukan sikap masyarakat bukannya ditetapkan oleh media arus perdana milik pemerintah.

“Jika bergambar dengan anak bekas ketua pemberontak Kiram dianggap kesalahan besar, mengapa bergambar mesra dengan ketua sebuah negara pengganas dibolehkan pula?” ujarnya merujuk kepada ‘kempen’ media perdana pro-Umno yang berlebih-lebihan mempertikai pertemuan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H Kiram.

Pada masa sama, terdapat juga netizen mengkritik tindakan pihak tertentu yang mengadukan kepincangan urus tadbir negara ini di bawah pentadbiran Najib Razak kepada Obama.

“Amerika mana kisah kau demokrasi atau kau zalim ke bang oii. Selagi pemimpin tu boleh jadi boneka Amerika dan beri manfaat kepada Amerika, Amerika tak hirau negara tu nak jadi apa pun!” bidas Abah Anas.

Sementara itu, M Khaidzir Farhan meninggalkan persoalan, “Bila anak muda bertanya adu pada Obama untuk menegur Najib dan dalam masa sama mengutuk Najib kerana tunduk pada Amerika. Maka, apa bezanya?”.

Dalam hal berkaitan, dakwaan Obama bahawa Malaysia termasuk antara 65 negara yang telah menyertai pakatan AS dalam memerangi IS turut mengundang pelbagai reaksi.

“Aku tak rela negaraku sendiri dipijak oleh kaki orang yang zalim dan musyrik seperti Barrack Obama! Tuan-tuan dan puan-puan mukabuku (Facebook) rela ke?” tegas Syafiq Ramli. Sebaliknya, Abdul Rashid pula menulis, “Geng Baju Merah bila nak buat Himpunan Tolak Obama?” sambil menyifatkan ramai pengguna Facebook bukanlah benar-benar sanggup berjihad walaupun kononnya melawan Obama.

Obama dalam ucapannya ketika berada di negara ini antara lain memberitahu, Malaysia menjejaki langkah Emiriyah Arab Bersatu untuk menubuhkan pusat maklumat bagi mengekang fahaman IS.

Pertemuan Obama dengan pemimpin 17 negara dalam Sidang Kemuncak Asean-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 lalu juga menyerlahkan pendirian negaranya untuk memerangi militan IS dan apa yang disebut sebagai “idelogi putar belitnya”.

Selain itu, Obama juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dalam menghapuskan perdagangan manusia yang dianggapnya pada masa ini di tahap kritikal.

Presiden AS pertama berkulit hitam itu semalam berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dengan pesawat Air Force One pada kira-kira pukul 5.20 petang.