Ops Terjah berjaya stabilkan bekalan, harga barangan keperluan asas

Oleh MALAYSIADATELINE

Operasi Terjah (Ops Terjah) yang dilaksanakan selama sebulan sejak 16 Dis lepas berjaya menstabilkan masalah gangguan ke atas rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sepanjang pelaksanaan operasi itu, sebanyak 21,830 premis di peringkat runcit di seluruh negara diperiksa dengan anggota penguat kuasa ditugaskan di lokasi-lokasi strategik menjadi tumpuan pengguna membeli-belah barangan keperluan harian.

“Strategi Melalui Op Samar iaitu keberadaan anggota penguat kuasa KPDN tanpa pakaian seragam dilakukan bagi melihat situasi sebenar bekalan dan harga barang.

“Ia membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil ke atas aduan pengguna selain tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata secara keseluruhan, dapatan daripada Op Terjah melaporkan berlaku masalah kekurangan bekalan telur ayam gred A, B dan C di beberapa negeri namun bekalan itu telah diterima semula dalam tempoh kurang tiga hari berbanding situasi biasa yang berlaku ketika musim cuti sekolah serta perayaan.

Menurutnya bagi isu bekalan ayam pula, tiada premis runcit dilaporkan mengalami gangguan bekalan berbanding 93 premis yang dilaporkan pada dua minggu pertama pelaksanaan Op Terjah di seluruh negara.

Ops Terjah
#image_title

Salahuddin berkata pihaknya juga telah mengenal pasti pembekal minyak masak paket dan mewujudkan kerjasama berterusan bersama pihak pembungkus minyak masak bagi menyegerakan penghantaran bekalan itu untuk menangani isu kekurangan bahan di pasaran.

“Isu bekalan gula dan tepung gandum juga dilihat tidak kritikal sepanjang tempoh pelaksanaan operasi ini. Namun, kementerian tetap mengambil tindakan dengan membantu peringkat runcit dalam mempercepatkan proses pengedaran bekalan daripada peringkat kilang kepada pemborong,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata selain memberi pendidikan, nasihat dan amaran agar peniaga mematuhi undang-undang, pihak KPDN turut mengadakan sesi libat urus di semua peringkat rantaian bekalan serta pemegang taruh bagi membantu melancarkan pengedaran.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel [email protected]; dan Ez ADU KPDN.

— BERNAMA

Baca juga : RM6 bilion dapat diselamatkan jika perbaiki teguran LKAN