‘Orang alim, para asatizah jangan terikut-ikut dengan orang jahil agama’

Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mokhtar Senik mengingatkan bahawa haram hukumnya bagi seorang isteri menceritakan aib suami atau bekas suaminya atau aib rumah tangganya kepada orang lain.

Begitu juga di pihak suami, kata Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia itu, haram berbuat demikian.

“Sangat besar kemurkaan Allah. Jangan buat kerja yang menghalangmu dari syurga Allah.

“Kalau orang tanya mengapa bercerai? Jawab sahaja: kami tiada jodoh. Selesai. Tak payah cerita berjela-jela. Org awam pun tak payah nak korek-korek cerita rumah tangga orang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Reaksi Mokhtar itu selepas beliau beberapa hari lalu telah mendengar perkataan dan bahasa yang keluar dari mulut seorang ustazah dalam satu perjumpaan.

“Sebelum ini saya hanya mendegar jauh-jauh cerita seorang muslimah yang mencela bekas suaminya kepada ramai orang. Saya sukar mempercayainya.

“Pertama kerana beliau seorang ustazah. Yang kedua boleh jadi cerita itu diada-adakan oleh bekas suaminya untuk menjadi justifikasi mengapa beliau ceraikan isterinya itu.

“Setelah saya dengar dan saya saksikan maka saya percaya cerita yang saya terima sebelum ini,” jelas pemilik Pondok An- Nuur di Kampung Kuala Penor, Kuantan itu lagi.

Sehubungan itu, Mokhtar berkata, cerai bukan perkara luar biasa dan bukan perkara keji kerana Nabi berkata talak adalah perkara halal yang tidak disukai Allah.

“Bukan hak kamu untuk mengetahuinya apatah lagi menghukum mana-mana pihak.

“Kerja begitu kerja orang jahil. Orang alim dan para asaatizah jangan terikut-ikut dengan orang jahil agama.

“Marilah kita kembali kepada agama. Jangan kembali kepada rasa, emosi, selera dan nafsu,” tambah Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu.